ADS

18 January 2011

Slowly2 Go Down: Hari Ketiga - Bhgn 2

... bersambung dari bhgn 1
masih lagi 07.11.2010, hari Ahad:

Selesai bergambar sakan di papantanda aluan selamat datang ke Bukit Larut, kami meninggalkan kawasan tersebut menuju ke jalan Taman Tasik untuk menikmati panorama indah sekitar kawasan Taman Tasik Taiping. Dalam perjalanan, kami melepasi Zoo Taiping di sebelah kanan dan tidak jauh dari situ kita akan menjumpai barisan pokok besar rendang yang meneduhi pengguna jalanraya. Seperti biasa, lokasi yang menarik jangan dilepaskan peluang untuk bergambar kenangan.


 Bridgestone di kaki Bukit Larut


Kawasan Bukit Larut adalah kawasan hutan simpan kekal


 jam 1040: Mahu berhenti berpotret di kawasan pohon kayu rendang


 Pohon kayu besar ni dah rupa macam bonsai pula ...


Puas bergambar di situ, perjalanan diteruskan sehingga ke satu persimpangan dan kami membelok ke arah kanan. Di sini kami tiba di lokasi yang rasanya biasa dilihat dalam album gambar pengunjung ke Taiping mahupun pernah muncul dalam beberapa filem dan drama tempatan iaitu deretan pokok besar yang rendang dengan beberapa dahannya berjuntaian ke tasik. Di kawasan tepi tasik, kami  bermandikan limpahan sinaran FIR matahari pagi Taiping yang cerah diikuti dengan lagi sesi fotografi.


 jam 1105: Refleksi pepohon rendang di air tasik


 'Taiping' dalam bahasa Hakka bermaksud, 'keamanan' atau 'kedamaian'


jam 1111: Menikmati pemandangan seketika sebelum menyambung kayuhan


Kayuhan disambung dan kali ini kami mengelilingi cukup satu loop Taman Tasik Taiping sebelum kembali semula ke persimpangan lampu isyarat jalan Taman Tasik - jalan Lumba Kuda - jalan Kamunting Lama memasuki jalan Taming Sari dengan tembok Penjara Taiping di sebelah kiri kami. Lebih kurang empat ratus lima puluh meter dihadapan, kami memasuki kawasan berpagar sebuah bangunan tiga tingkat berwarna putih disebelah kanan, iaitu Muzium Taiping. Muzium Taiping merupakan muzium tertua di semenanjung Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1883. Idea penubuhannya diasaskan oleh Sir Hugh Low, residen Inggeris di Perak ketika itu. Kurator muzium yang pertama ialah Leonard Wray Jr., seorang ahli botani dan geologi.

Di sini, kami hanya berpeluang melawat objek - objek yang dipamerkan di bahagian luar sebelah kiri muzium sahaja memandangkan kekurangan masa. Kami meletakkan basikal di hadapan sebuah pesawat pejuang TUDM sebelum didatangi oleh seorang abang pegawai keselamatan yang menegur kami. Beliau menyangkakan kami ingin meletakkan basikal di situ padahal kami cuma ingin bergambar sahaja. Sebelum meninggalkan perkarangan, kami sempat bergambar kenangan bersama abang pengawal. Jangan marah aaa bang nanti cepat tua hehehe ...


 Bangunan Muzium Taiping pandangan dari arah jalan Taming Sari, berhadapan Penjara Taiping


Basikal2 kami bersama pesawat pejuang Sabre (F86 kot, maafkan saya jika tersalah) pemberian TUDM


 " Apa tengok - tengok ? " ... patung Kolonel Walker, pengasas Perak States Guides


 "Bukan saya tak bagi parking kat sini, tapi kat atas tu ada CCTV nanti orang dalam bising", kata abang pengawal keselamatan ...


Setelah berbicara dan bersalaman dengan abang pengawal keselamatan, kami keluar dari kawasan muzium tersebut memasuki kembali jalan Taming Sari. Dalam perjalanan, kami melepasi sebuah padang (Esplanade) dan kemudian sebuah bangunan lama di sebelah kiri jalan iaitu bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama. Kami kemudian memasuki kawasan bandar yang dipenuhi banyak bangunan lama, kebanyakkannya dibina sebelum zaman merdeka lagi. Jalan Taming Sari kemudian bercantum dengan jalan Kota di persilangan berbentuk Y sebelum keduanya ditemukan di satu persimpangan tiga berlampu isyarat.


jam 1154: Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang & Selama, bangunan bertarikh 1897


Selepas lampu isyarat, kami memasuki jalan Taiping - Kuala Sepetang sebelum memasuki jalan Air Kuning untuk menuju ke persimpangan Changkat Jering. Di sini terdapat sedikit laluan pendakian yang kemudiannya berakhir dengan jalan landai melalui beberapa kawasan perkampungan. Lebih kurang tujuh kilometer berkayuh dari susur keluar ke jalan Air Kuning, kami akhirnya sampai di persimpangan lampu isyarat Changkat Jering. Terdapat sebuah papantanda menarik di situ dan kami berhenti sebentar untuk bergambar. Berhadapan papantanda tersebut, ada sebuah gerai menjual air tebu dan kami sepakat untuk berhenti minum sebelum meneruskan perjalanan.


Ada unta ?


jam 1228: Laluan dengan tol atau tanpa tol. Ada kami kisah ?


 Pekena air tebu di kala panas tengahari memang merupakan satu kenikmatan


 Masing2 merasa minum air tebu segar, ahhh puasnya ...



 Radio transistor lama di gerai tersebut


T  A  M  A  T:   H  A  R  I    K  E  T I  G  A   -   B  H  G  N   2



Kata - Kata Hikmat:



No comments: