08.11.2010, Isnin
Bersambung dari bahagian satu ...
Bersambung dari bahagian satu ...
Kami meninggalkan pekan Tapah melepasi dua persimpangan berlampu isyarat di laluan Persekutuan No. 1. Laluan di Tapah yang pada mulanya landai, kemudian menjadi berbukit dan sedikit beralun dalam perjalanan ke Bidor. Setelah berkayuh lebih kurang sebelas kilometer, kami tiba di sebuah stesyen minyak di Bidor. Subki yang terlebih dahulu sampai, dilihat bersama seorang pemuda bermotorsikal. Setelah diperkenalkan oleh Subki, rupanya lelaki itu adalah sepupu padanya. Kami semua berkenalan dan berborak dengan sepupu beliau yang tinggal di Tapah, tetapi bertugas di Bidor. Setelah beberapa minit berhenti, kami meninggalkan stesyen minyak dan sepupu Subki bagi menuju ke lokasi tempat makan tengahari. Semasa memasuki deretan pekan Bidor, saya mengarahkan rakan - rakan untuk berhenti di kawasan perniagaan petai kerana ingin membeli sedikit petai dibawa pulang. Malangnya, tiada satu pun peniaga menjual petai untuk tengahari itu. Hampa rasanya : (
[Nota: setiap perkataan berwarna biru adalah mempunyai pautan (link) dan boleh diklik untuk bacaan lanjut. Imej lebih beresolusi tinggi juga boleh dilihat apabila gambar diklik]
jam 1447: Memasuki pekan Bidor
jam 1449: Di kawasan perniagaan petai Bidor. Tiada satu pun petai dijual untuk hari itu, kempunan ...
Dari kawasan perniagaan petai, kami meneruskan perjalanan sejauh dua perpuluhan empat kilometer dan berhenti makan di R & R yang terdapat di sebelah kanan laluan. Kami menghabiskan masa kira - kira tiga puluh minit di situ.
Basikal diletak di bahagian hadapan kawasan R & R Bidor
Selesai menikmati makan lewat tengahari. Baru cerah sikit dunia ni dirasakan hehehe ...
Selesai berurusan di R & R Bidor, perjalanan diteruskan lagi di jalan Persekutuan No. 1 dengan perhentian seterusnya yang dirancang iaitu di stesyen minyak pekan Slim River yang terletak kira - kira tiga puluh empat kilometer dari R & R Bidor. Pekan yang akan kami lalui di antara Bidor - Slim River ialah Sungkai dan Trolak. Laluan mula menyeronokkan di mana melalui kawasan landai dan bahu jalan yang lebar dengan jalan kenderaan yang mempunyai dua lorong. Cuaca yang mendung juga menggembirakan kami, tetapi di satu sudut yang lain hati memohon agar tidak hujan sepanjang laluan kami.
Semasa melalui satu jalan lurus dan landai yang panjang, tiba - tiba datang satu kereta Proton Iswara berwarna merah berhenti di tepi jalan. Rupa - rupanya beliau adalah kenalan lama kami, encik Jumat Majid yang sedang dalam perjalanan ke tempat bertugas di Cameron Highlands. Kami sempat berbual dan bergambar kenangan dengan beliau. Menurutnya, dia perasan akan kehadiran konvoi kami di tepi jalan tapi menyangkakan yang kami adalah mat saleh yang sedang bertouring. Tetapi setelah ternampak susuk kelibat Ah Chong, beliau pantas berpatah balik untuk bertemu kami.
1627: Bertemu encik Jumat Majid di jalanan
Tidak lama kemudian, Jumat minta diri untuk meneruskan perjalanannya ke Cameron Highlands. Setelah beliau bersalaman dan mengucapkan selamat jalan pada kami, kedua - dua pihak meneruskan perjalanan menuju haluan masing - masing. Melepasi pekan Sungkai, kami tiba di satu persimpangan menuju ke kolam air panas yang agak terkenal di situ iaitu Kolam Air Panas Sungai Klah atau kadang - kadang disebut sebagai TRAP (Taman Rekreasi Air Panas) Sungai Klah. Berkayuh lapan perpuluhan lima kilometer seterusnya, kami melepasi persimpangan ke Felda Besout dan tidak lama kemudian jalan menjadi dua lorong besar dengan terdapat laluan pendakian.
Hujan lebat mula turun ketika saya dan Muzammil tiba di puncak pendakian. Untuk keselamatan, kami berdua memasang blinker keselamatan dan meneruskan perjalanan walaupun dalam keadaan hujan lebat. Pada masa yang sama, masing - masing tercari - cari sebarang bangunan untuk berhenti meneduhkan diri dari hujan. Samar - samar di hadapan, kelihatan sebuah pondok menunggu bas dengan susuk tubuh dua orang yang seakan dikenali. Rupa - rupanya, Ah Chong dan Zulhabri turut berhenti di situ. Saya tidak dapat mengingati dengan tepat berapa lama kami berteduh di situ, tapi yang pastinya lebih dari sejam. Semasa berteduh di situ, saya mendapat khidmat pesanan ringkas (sms) dari Subki yang memberitahu beliau telah tiba di pekan Slim River dan menunggu kami di sebuah stesyen minyak.
Sebaik sahaja hujan reda, kami meneruskan perjalanan menuju ke pekan Slim River. Hari telah mulai gelap ketika kami sampai di Slim River. Antara kami ada yang telah menggeletar kesejukan. Perut saya sendiri telah berbunyi - bunyi minta diisikan, kesejukan semasa berkayuh nampaknya telah membuatkan perut menjadi cepat lapar. Ah Chong mencadangkan agar kami makan malam di sebuah restoran berhampiran. Memandangkan kami telah terlewat, dan dikhuatiri akan melewatkan lagi masa untuk kami tiba di Behrang Ulu. Saya mencadangkan semua untuk makan makanan segera sahaja di stesyen minyak tersebut. Masing - masing membeli dan membancuh minuman tiga dalam satu, mee segera dan saya sendiri membeli sandwich. Kakak petugas stesyen minyak tersebut begitu sporting apabila mengizinkan kami meminjam mug kepunyaan staf - staf di situ. Terima kasih ye kak !!
jam 1858: Menambah tenaga kayuhan di sebuah stesyen minyak pekan Slim River; dengan mee segera, minuman 3 dlm 1 & sandwich
Selesai menjamu selera, membersihkan mug yang dipinjam dan mengembalikannya di rak susunan milik staf stesyen minyak. Kami memeriksa lampu basikal masing - masing untuk membuat persediaan. Hujan masih lebat ketika kami meninggalkan Slim River. Jalan menuju ke persimpangan Behrang adalah sempit, hinggakan kehadiran kami membuatkan kenderaan berat terpaksa memperlahankan kelajuan, justeru mewujudkan kesesakan jalan raya. Ada satu ketika di mana sebuah lori yang mungkin tidak dapat bersabar dengan kami membunyikan honnya dengan kuat, membuatkan kami terperanjat lalu terbabas ke bahu jalan yang tidak bertar. Memang bahaya sungguh keadaan pada ketika itu, ditambah dengan keadaan jalan yang gelap tidak mempunyai lampu jalan.
Keadaan hujan menyukarkan saya yang bercermin mata kerana percikan air dan pantulan cahaya dari kenderaan yang datang dari arah depan di lensa menghalang pemandangan. Saya terpaksa berpandu pada blinker dari rakan - rakan di hadapan sebagai panduan semasa berkayuh. Satu lagi halangan ialah pemantul cahaya berbentuk bulat yang terbonjol dari permukaan jalanraya. Dengan keadaan jalan yang licin, gelap dan bahu jalan bertar yang lebarnya tidak sampai dua jengkal dari hujung garisan putih tepi jalanraya, melanggar pemantul jalan tersebut boleh mendatangkan kecelakaan jika kita tidak bernasib baik.
Kayuhan dalam gelap sejauh sepuluh kilometer itu sungguh lama dirasakan. Kami akhirnya memasuki persimpangan Behrang memasuki jalan negeri no. A124 dan meninggalkan jalan Persekutuan No. 1. Masing - masing menarik nafas lega sebaik sahaja memasuki jalan ini. Di sini, bantuan GPS Muzammil diperlukan kerana tiada seorang pun dari kami pernah melalui jalan ini dan Zulhabri pula tidak pernah ke Behrang Ulu menggunakan jalan ini. Jalan di sini besar, dengan dua lorong dua hala tetapi agak gelap kerana tiada lampu jalan. Bergembira dengan kehadiran jalan yang lebih besar, membuatkan masing - masing seolah bersaing beriringan ketika berkayuh sebelum kemudian dihadapkan dengan beberapa laluan pendakian yang bolehlah tahan tingginya. Mujurlah keadaan malam yang gelap dapat menyembunyikan keadaan laluan yang saya kira jika ianya dilalui ketika waktu siang, pastinya akan dapat melemahkan mental semua hehehe ...
Kami tiba di sebuah persimpangan utama, di sini Zulhabri mulai dapat mengecam laluan ke kediaman adik dan adik iparnya itu. Jalan kemudiannya mengecil kepada satu lorong dua hala dan di satu persimpangan, kami memasuki ke arah kanan di jalan yang seolah - olah jalan kampung. Sampai di situ, kami dikejutkan lagi dengan satu lagi pendakian curam yang pendek. Sangka kami telah menemukan jalan kebahagian, rupanya terdapat satu lagi halangan terakhir sebelum sampai di rumah yang dituju. Lebih kurang hampir jam 2100 (jika tidak silap), kami tiba di kediaman adik dan adik ipar Zulhabri dalam keadaan basah kuyup dan kesejukan. Kami dialu - alukan oleh tuan rumah, iaitu adik perempuan Zulhabri, puan Nurul Jannah bersama suaminya encik Sharil. Basikal diletak dan dikunci di hadapan rumah dan kemudiannya kami memasuki rumah. Masing - masing mengambil giliran untuk membersihkan diri dan menukar pakaian kering, sebelum semua dijamu dengan hidangan yang begitu menyelerakan.
jam 2208: Dinner time !! Dihidangkan oleh adik ipar Zulhabri, Sharil.
Menu makan malam istimewa dari tuan rumah
Hujan dah lama berhenti, tapi ketiga2 ni masih belum renti makan huhuhu ...
Selesai menikmati hidangan, masing - masing dengan aktiviti tersendiri ada yang menonton televisyen, membasuh pakaian, berkemas beg dan yang paling enak dilakukan dalam kedinginan malam ialah tidur : ) Selamat malam semua, mimpi indah ya ...
Info kayuhan hari keempat:
Jumlah jarak: 98.77 kilometer
Masa kayuhan (tidak termasuk waktu berhenti): 5 jam 28 minit 08 saat
No comments:
Post a Comment