ADS

26 November 2012

Reviu e-mag Bicycle Traveler edisi Nov. 2012



Majalah Elektronik (selepas ini akan disebut sebagai e-mag, singkatan dari electronic magazine) Bicycle Traveler edisi November 2012 telah pun mula diterbitkan. Ianya boleh dimuat turun melalui laman ini, secara percuma !

Seperti biasa, penulis akan membuat reviu ringkas dan pembaca boleh memuatnaik dan membacanya sendiri untuk menambah pengalaman serta pengetahuan, serta membuka minda saudara - saudari tentang aktiviti berkembara basikal ini.

Ringkasnya, kandungan e-mag ini masih terbahagi kepada beberapa bahagian seperti artikel, fotografi, peralatan, temuramah dan kolumnis.


Bicycle Traveler edisi November 2012

Artikel:

Cycling The Dempster.
Mike Boles berkongsi pengalamannya berkembara basikal melalui Dempster Highway di utara Kanada.

Bicycling The Americas.
Cass Gilbert berkongsi pengalamannya berkembara basikal di benua Amerika, gaya perjalanan dan destinasi akhir yang dituju.

Slow Boat To Borneo.
Amaya William menceritakan pengalaman beliau dan suaminya Eric Schambion menaiki bot selama dua hari setengah dari Pulau Bintan ke Pontianak di Kalimantan Barat, sejurus sebelum memulakan perjalanan mereka meneroka kepulauan Borneo.

Ten Bicycle Touring Commandments.
Charlie Baxter menulis 10 'rukun' yang beliau fikir patut diamalkan oleh penggiat aktiviti kembara berbasikal


Fotografi

A New Paint Job
Yvonne & Valentjin van der Valk mengecat kedua basikal mereka, selepas mendapat ilham apabila melihat lori-lori milik negara Pakistan ketika berkayuh melalui Lebuhraya Karakoram.

Photo Story - French Alps
Kees Swart dan rakan kayuhannya, berkongsi gambar-gambar menarik ketika mereka melakukan kembara berbasikal di kawasan berbukit antara Geneva dan Laut Mediterranean.

Image From The Road - Bolivia
Gambar berkembara basikal di kawasan bergurun Bolivia oleh Neil Pike.

Image From The Road - Tanzania
Gambar pengembara berbasikal memilih tapak perkhemahan di antara dua batang pokok besar oleh Dave Conroy.

Image From The Road - India
Penduduk tempatan berkerumunan melihat basikal milik Paul Jeurissen.

Parting Shot - America
Gambar cebisan pokok kaktus dan durinya yang melekat pada tayar basikal oleh Paul Jeurissen


Peralatan

Trip Gear
Grace Johnson membuat reviu beberapa peralatan terkini di pasaran seperti khemah ringan untuk 2 orang (lightweight 2 person tent), kole berpenebat (insulated mug), beg handle bar, beg tidur (sleeping bag), kerusi mudah alih dan lampu kepala (headlamp).

Test Anjungilak Air Pillow
Henrik Risager menguji dan memberikan reviu mengenai bantal angin model Anjungilak keluaran jenama Mammut.

Test MSR Pocket Rocket Stove
Helen Llyod menguji dan memberikan reviu mengenai dapur gas mudah alih model Pocket Rocket keluaran jenama MSR.


Temuramah

Ian Hibbell
Ben Searle berkongsi pengalamannya menemuramah seorang pengembara basikal warga emas, mendiang Ian Hibbell. Untuk info, Ian Hibbel telah meninggal dunia pada tahun 2008 akibat dilanggar lari di lebuhraya Athens - Salonika ketika berlatih untuk kayuhan rentas dunia, pada umurnya 74 tahun ketika itu.


Kolumnis

An Eco Friendly Bike Trip
Edward Genochio memberikan sedikit penulisan aluan, mengenai perjalanan kembara berbasikalnya dari England ke China, dan berpatah balik.

Selamat menaikturun dan membaca !


Muka hadapan Bicycle Traveler edisi Nov. 2012

19 November 2012

Kayuhan NJ: Hari 1, Bahagian 5

Alhamdulillah, setelah merehatkan sebentar siri Kayuhan NJ dan menerbitkan pula pengkisahan ‘S24O ke Bukit Ramli’. Penulis akhirnya menjaya mendapatkan kembali mood yang diperlukan bagi menulis cerita Kayuhan NJ. Harapan agar ianya akan dapat dihabiskan agar jalan ceritanya tidak tergantung begitu sahaja. Terima kasih kepada semua pembaca kerana masih setia mengikuti ( :

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:

Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih.

17hb Nov. 2011, Khamis

Tanjung Malim ke Slim River

Selesai menjamu selera dan membayar harga makanan-minuman, kami bersepakat untuk ke stesyen minyak Petronas yang terletak di sebarang jalan bagi menunaikan kewajipan solat. Memandangkan waktu pun menjelang senja, kami hanya akan berkayuh kembali setelah menunaikan solat fardu Maghrib. Alhamdulillah, kewajipan berjaya dilaksanakan. Sebelum memulakan perjalanan, kami bertiga (kecuali abang Joe) memakai vest pemantul cahaya sebagai langkah keselamatan untuk menghadapi situasi malam

Perjalanan diteruskan dengan melalui Jalan Persekutuan No. 1 setelah segalanya selesai. Kami melepasi persimpangan menuju Proton City, Bandar Behrang dan persimpangan masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Behrang Stesyen. Bahu jalan yang pada mulanya besar bersama laluan dua lorong, kemudian bertukar menjadi selorong dan bahu jalan yang tidak sampai tiga puluh sentimeter lebar ketika kami melepasi kawasan Behrang Stesyen. Lampu jalan yang pada mulanya banyak menerangi laluan kami, turut berkurangan dan pada beberapa lokasi hanya terdapat di persimpangan jalan sahaja.

Cabaran ketika melalui laluan Behrang Stesyen - Slim River ini ialah pada permukaan bertar bahu jalannya yang tidak lebar, ditambah dengan pemasangan pemantul cahaya (reflector) jenis bulat yang menyempitkan lagi laluan yang telah sedia sempit itu. Pemantul cahaya itu juga licin dan boleh mengakibatkan kemalangan jika terlanggar. Kawasan tepi jalannya yang rendah dari aras jalan cuma bertanah atau berumput. Keadaan itu diburukkan lagi apabila lori treler melalui jalan tersebut, lebih-lebih lagi jika terdapat kenderaan yang dating dari arah bertentangan. Kami terpaksa lebih berhati-hati dengan tidak melanggar sebarang pemantul cahaya kerana jika terjatuh pastinya akan dilanggar oleh lori-lori.

Pasar malam Slim River

Untuk menghadapi situasi ini, kami berempat berkayuh secara berhampiran kerana ini akan membuatkan pengguna jalanraya lain lebih perasan akan kehadiran kami di jalanraya melalui kerlipan cahaya lampu keselamatan belakang (blinker) kami. Setelah dua puluh kilometer dengan masa satu jam sepuluh minit meninggalkan Tanjung Malim, kami akhirnya sampai di Slim River.


Gambar 1. Ketika berhenti rehat di stesyen minyak Esso, Slim River


Setibanya kami di Slim River, saya menghantar sms untuk mengemaskinikan status Facebook, seperti berikut:

Pit stop di Esso Slim River. Info: 115.30 km DST*, 6:27:03 TM* [17.11.2011, 2035 hrs]

Nota:
DST merupakan singkatan kepada jarak (distant) dalam unit kilometer; TM bermaksud masa (time) dalam unit jam: minit: saat, 

Pucuk dicita ulam mendatang, kebetulan terdapat pasar malam di kawasan berhampiran. Selepas meminta rakan lain menjaga basikal, saya dan Muzammil berkunjung ke pasar malam itu. Setelah mundar-mandir dari hadapan hinggalah ke hujung pasar malam tersebut, apa yang saya beli adalah seketul hotdog bagi mengisi perut yang telah berkeroncong. Berbeza apabila berkayuh di waktu siang dan malam. Jika pada waktu siangnya, kita akan lebih banyak minum air dari makan akibat cuaca yang panas. Pada waktu malamnya pula, kurang minum air tetapi perut akan menjadi lebih cepat lapar. Ini adalah kerana tenaga tambahan diperlukan untuk mentenagakan kayuhan disamping memanaskan badan lebih-lebih lagi jika cuaca dingin akibat hujan.

Semasa kami berehat di tepi stesyen minyak tersebut, seorang lelaki menegur kami. Rupa-rupanya, beliau juga adalah peminat aktiviti berbasikal yang berkayuh bersama kumpulan yang dinamakan sebagai Tanjung Malim Bikers. Beliau sempat berpesan kepada kami untuk berhati-hati di laluan antara Slim River ke Bidor dimana di lokasi tersebut terdapat banyak kes samun. Kami mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut dan berjanji akan lebih berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut.


Gambar 02. Bergambar bersama rakan kayuhan yang baru kami kenali di Slim River


Slim River menuju ke Bidor.

Destinasi kami seterusnya ialah Tapah. Plan asal saya ialah untuk berhenti bermalam di sebuah R & R yang terletak pertengahan antara pekan Tapah dan Temoh. Namun oleh kerana masa nampaknya sudah semakin suntuk, akibat pembaziran masa menunggu hujan reda. Saya terpaksa menukar plan untuk bermalam di Bidor, yang terletak lebih kurang 20 kilometer dari pekan Tapah.

Terlebih dahulu, saya menghantar satu sms kepada rakan rumah sewa saya di Shah Alam, memberitahu kepadanya tentang meminta kebenaran untuk bermalam di rumah keluarganya yang terletak di Kampung Pasir, Bidor. Beliau membalas yang dia sudah menelefon keluarganya dan telah memberikan lampu hijau untuk kami bermalam di rumahnya. Fuhhh, lega rasanya setelah mendapat kebenaran tersebut …

Perjalanan kami teruskan, dari Slim River menuju ke Bidor laluan satu lorong menjadi dua lorong dan beberapa tempat seperti Trolak dan Sungkai kami lepasi. Kaki Muzammil masih lagi terkena kekejangan (cramp) dan ketika di laluan pendakian, kami bergilir-gilir berkayuh sambil membantunya dengan cara menolak di bahagian belakang badan beliau. Antara laluan pendakian yang panjang dan sedikit curam yang saya ingati adalah ketika menghampiri persimpangan masuk ke Felda Gunung Besout.

Waktu menghampiri jam 11 malam dengan tinggal tidak sampai 20 kilometer ke Bidor (seingat saya), kami berhenti rehat di tepi sebuah lokasi yang baru dibangunkan. Oleh kerana gelap malam dan tiada sebarang papantanda untuk kami rujuki, tidaklah kami ketahui lokasi kami berhenti. Dilihat dari bentuk pembangunan tersebut, ia mungkin sebuah sekolah atau hospital yang baru didirikan. Maafkan saya andai tersalah meneka bangunan itu ...


Gambar 3: Berhenti rehat di kawasan yang tidak kami ketahui


Kampung Pasir, Bidor

Kami berempat tiba di kediaman Tok Salim yang terletak di Kg. Pasir, Bidor menghampiri jam 1.00 pagi. Untuk info, insan yang saya panggil sebagai Tok Salim ini atau nama sebenarnya Abd Halim merupakan adik kepada nenek di sebelah ayah saya. Beliau merupakan bekas pesara kerajaan yang memilih Bidor untuk dijadikan lokasi kediamannya.

Disebabkan tiba terlalu lewat, kami tidak tergamak untuk mengejut keluarganya dan bercadang untuk tidur sahaja di bahagian laman berbumbung sisi rumahnya. Untuk ke tandas, saya mengesyorkan pada rakan-rakan lain untuk menggunakan tandas di surau berhampiran. Masing-masing mengeluarkan sleeping mat serta sleeping bag, dan mengemaskan beg untuk tidur. Tidak lupa juga untuk mengunci basikal pada tiang di laman meletak kereta untuk keselamatan agar tidak dicuri.

Saya menelek-nelek bacaan pada odometer basikal, dan kemudian menghantas sms untuk mengemaskini status Facebook saya:

Alhamdulillah, setelah b’panas-hujan-angin-ngantuk-lenguh-kaki krem-basah lenjun dll kami b’empat slmt tiba di Bidor. Info hari p’tama: 152.88 km DST*, 8:47:53 TM*, 43.2 km/h MAX*, 17.7 km/h AVG* [18.11.2011, 0103 hrs]

Nota:
DST merupakan singkatan kepada jarak (distant) dalam unit kilometer; TM, masa (time) dalam unit jam – minit - saat; MAX, kelajuan maksima (maximum) dalam unit km/j dan AVG purata kelajuan (average) dalam unit km/j.

Sedang bersiap-siap untuk tidur, saya ternampak kelibat seseorang menarik langsir dan mengintai dari tingkat rumah. Tiba-tiba, lampu di laman luar rumah dinyalakan dan pintu masuk utama dibuka. Rupa-rupanya, ia adalah Tok Salim dan kemudian ia menjemput kami semua untuk masuk. Setelah saya bersalaman dengannya, ia berkata kenapa saya tidak mengetuk pintu atau memanggilnya. Saya hanya mengatakan yang kami tiba terlalu lewat dan tidak mahu mengganggu tidurnya. Beliau mengatakan yang dia dan isteri telah menyiapkan tempat tidur untuk kami di ruang tamu. Selepas berkata demikian, beliau turut menyuruh rakan-rakan yang lain untuk masuk ke rumah. Nampak gayanya, sleeping bag dan sleeping mat yang dibawa tidak dapatlah digunakan untuk malam ini …


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G

 

16 November 2012

S24O Bukit Ramli - 3 Jun 2012 (Bahagian ketiga: Akhir)

Kesinambungan dari bahagian lalu.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Semua hakcipta penulisan dan gambar adalah terpelihara, sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari penulis. Terima kasih.

Ahad, 3hb Jun 2012

Kaki Bukit Ramli.

Setibanya kami berdua dia persimpangan Jalan Awin - jalan besar, kami berehat seketika melepaskan lelah dah bergambar kenangan. Setelah berehat dan membasahkan tekak dengan tidak sampai lima minit, kami meneruskan perjalanan menuju ke sebuah persimpangan untuk menghala ke pekan Meru.

Tidak sampai dua kilometer berkayuh, kami dikejutkan dengan pemandangan sebuah kereta terbakar hangus di tepi kanan jalan. Ianya menarik perhatian kami berdua untuk berhenti dan bergambar. Entah apalah punca kebakaran ini berlaku, lebih malang lagi bagaimanalah keadaan pemandu atau penumpang kenderaan kereta tersebut. Dari pengamatan saya, kereta ini adalah dari jenis Proton Saga.

Saya memfotokan keadaan ini untuk entry blog milik saya yang satu lagi (Aku, Basikal Dan Sesuatu), dan turut menyuruh Mawi memanjat ke atas bumbung bagi mendapatkan aksi yang lebih dramatik. Model tidak berbayar saya memanjat ke atas bumbung dengan berhati-hati, manalah tahu kebakaran itu mungkin melemahkan struktur logam bahagian bumbung tersebut.


Gambar 1. Bahagian depan kereta yang terbakar

Gambar 2. Bahagian sisi tepi dan belakang kereta yang terbakar

Gambar 3. Mawi memanjat bumbung kenderaan untuk mendapatkan sudut lebih dramatik


Persimpangan sempadan daerah Klang & Kuala Selangor
 
Puas bergambar, kami meninggalkan lokasi kebakaran kereta dan laluan berubah kepada pendakian jarak pendek sebelum dihidangkan pula dengan laluan menuruni bukit yang membawa kami ke sebuah simpang tiga. Sebuah papantanda di tepi jalan memberitahu kami yang ke kiri akan membawa ke pekan Meru manakala ke kanan menuju ke Puncak Alam atau Kuala Selangor.

Rupa-rupanya, persimpangan itu menjadi tanda persempadanan antara daerah Klang dan Kuala Selangor. Kami meluangkan sedikit masa untuk sesi fotografi di situ.


Gambar 4. Basikal kami diletakkan di daerah Klang

Gambar 5. Tidak sampai beberapa saat, Mawi berada di daerah Kuala Selangor.


Majlis kenduri kahwin di Jalan Jambu, Meru
 
Kami meninggalkan kawasan persempadanan dua daerah tersebut, dengan memasuki Jalan Meru Tambahan dan mensasarkan Jalan Jambu untuk menuju majlis kenduri kahwin rakan Facebook saya, Anita. Satu demi satu jalan yang dinamakan dengan nama buah-buahan kami lalui dan tidak lama kemudian sampailah kami ke persimpangan Jalan Jambu.

Kami masuk ke Jalan Jambu dan tiba di satu majlis perkahwinan di sebelah kanan jalan. Saya bertanyakan pada seorang petugas majlis di kenduri itu, setelah memberi nama pengantin berserta nama bapanya lelaki itu memberitahu kami rumah yang dicari itu hanya terletak dua persimpangan utama dari situ. Selepas mengucapkan terima kasih, kami berdua berlalu pergi dan setelah dua persimpangan utama kami lepasi, tibalah keduanya di majlis kenduri kahwin yang sebenarnya ingin kami hadiri.

Hadirin masih ramai biarpun tiba hampir jam 1530 petang. Kehadiran kami menjadi tumpuan beberapa mata yang memandang, dan itu membuat  saya dan mungkin juga Mawi menjadi sedikit segan. Kami meletakkan basikal di bawah sepohon pokok yang rendang di antara beberapa buah kereta tetamu yang diletakkan di situ dan menguncinya.

Berjaya mendapatkan sebuah meja kosong, kedudukan meja kami tidak jauh dari rumah pengantin. Semasa kami makan, satu keluarga turut menumpang meja makan kami bagi menikmati hidangan. Kami berkenalan dan berborak-borak, rupanya lelaki itu merupakan bapa saudara kepada pengantin perempuan, Anita.

Sedang kami makan, tiba-tiba Anita datang menghampiri kami. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran saya dan Mawi, seterusnya meminta maaf kerana tidak dapat melayan kami kerana kesibukan berjumpa dengan saudara mara dan tetamu yang hadir serta sessi bergambar kenangan.

Setelah selesai menikmati hidangan, dan juga membiarkan makanan yang dihadam jatuh ke bahagian bawah perut (Burppp, Alhamdulillah ...) tibalah masanya untuk kami beredar. Waktu ketika itu menghampiri jam 1600 petang, jika diikutkan aktiviti S24O kami telah terbatal kerana memulakan perjalanan petang semalam pada jam 1600 petang, bermakna telah 24 jam dilalui dan masih belum pulang ke rumah. Tetapi, biarlah waktu 24 jam itu sekadar menjadi panduan asas berS240 dan biarlah kami menikmati setiap detik tanpa perlu terburu-buru mengejar masa.

Saya berniat untuk bergambar dengan pasangan pengantin bagi mengabadikan perkenalan dan kedatangan kami ke majlis kenduri kahwin ini, tetapi terpaksa menunggu beberapa minit sebelum dapat peluang untuk berfoto. Saya meminta pertolongan jurugambar rasmi majlis bagi merakamkan gambar kami berempat. Setelah sessi fotografi diadakan, saya dan Mawi saling bersalaman dengan pengantin lelaki dan mengucapkan selamat pengantin baru pada keduanya.


Gambar 6. Aksi spontan dan bersahaja keluarga pengantin ketika acara bergambar beramai-ramai diadakan.

Gambar 7. Gambar kenangan saya dan Mawi menghadiri majlis kenduri kahwin pasangan pengantin


Mencuba jalan pintas Setia Alam ke Bukit Bandaraya

Dari Jalan Jambu, kami kemudian memasuki Jalan Kopi yang menembusi hingga ke jalan Meru - Kapar (Persiaran Hamzah Alang). Dari situ kami memasuki Jalan Haji Abdul Manan 1 yang kemudiannya keluar ke Jalan Abdul Manan. Selepas stesyen minyak Petronas yang baru didirikan di sebelah kanan jalan, kami memasuki simpang berlampu isyarat di sebelah kanan dan melalui Klang Sentral serta pasaraya besar Giant di sebelah kiri kami.

Saya mengambil keputusan untuk melalui jalan ini bagi mengelakkan keadaan merbahaya persimpangan yang bersimpang siur dari pekan Meru menghala ke Setia Alam dan Klang. Banyak kenderaan besar seperti lori kontena yang melalui jalan tersebut dan keadaan itu adalah merbahaya bagi kami berdua.

Selepas pasaraya besar Giant, kami melalui satu pusingan U dan kemudian memasuki Setia Alam. Saya agak biasa dengan jalan di situ kerana terdapat pasangan rakan rekreasi pendakian gunung tinggal di Setia Alam. Selain faktor keselamatan kerana hendak mengelakkan kenderaan besar dan jalan yang sibuk, faktor saya mengambil laluan ini adalah untuk mencuba satu laluan pintas offroad yang dikatakan dapat menembusi kawasan Bukit Bandaraya dari Setia Alam.

Menurut seorang rakan kayuhan iaitu abang Nazari, terdapat jalan pintas di bawah laluan kabel penghantaran elektrik bervoltan tinggi dengan jalan masuknya tidak jauh dari plaza tol Setia Alam. Faktor inilah yang mendorong saya untuk mencuba sendiri laluan tersebut.


Gambar 8. Setia Eco Park, antara perumahan elit yang terdapat dalam kawasan Setia Alam


Tidak jauh dari plaza tol Setia Alam, ternampaklah akan kami berdua sebuah laluan sebelah kiri jalan betul-betul di bawah kabel penghantaran voltan tinggi. Ianya seolah-olah menjadi laluan alternatif utama penduduk tempatan, melihatkan pada kesan tanahnya. Kami berdua melalui jalan tersebut, dan sempat berhenti seketika untuk bergambar.

Jika mengambil gambar dengan tidak memasukkan struktur besi pemegang kabel voltan talian tinggi tersebut, kehijauan padang rumput tersebut dilihat seolah padang ragut lembu tenusu di New Zealand (chewaaahhh ...)


Gambar 9. Mawi mendahului di hadapan mencuba laluan pintas menuju ke Bukit Bandaraya

Gambar 10. Jika tiada struktur besi dan kabel penghantaran voltan tinggi ini, lanskap yang menarik pasti akan kita perolehi

Gambar 11. Laluan yang jelas, kering dan berumput memudahkan perjalanan kami walaupun dengan beg pannier di kiri kanan kami.


Dengan jarak 1 kilometer ataupun kurang, kami berdua tiba di penghujung laluan pintas tersebut. Hujungnya mempunyai tanah yang ditimbunkan dan ini sedikit menyukarkan laluan kami.


Gambar 12. Timbunan tanah di bahagian hujung laluan sedikit menyukarkan perjalanan kami.

Gambar 13. Perjalanan melalui jalan pintas hampir selesai !


Tasik di kawasan Bukit Bandaraya

Dari laluan pintas itu, kami mula memasuki kawasan perumahan di Bukit Bandaraya. Tidak jauh di hadapan, terdapat sebuah tasik di sebelah kiri jalan. Saya yang agak biasa dengan kawasan di situ kerana pernah mencuba laluan offroad 'Band of MTB Rider', kemudian mengajak Mawi untuk melalui jalan tersebut.

Sebelum merasai pengalaman di laluan itu, terlebih dahulu kami bergambar di tepi tasik. Semasa bergambar, ternampaklah akan kami seorang surirumah warga etnik Orang Asli sedang mencuci pakaian di tepi tasik, betul-betul di seberang hadapan tempat kami meletakkan basikal.


Gambar 14. Kedua basikal kami dengan berlatarbelakangkan pemandangan tasik serta hutan yang menenangkan.

Gambar 15. Mawi dibawa oleh saya untuk merasai pengalaman laluan offroad sekitar tepi tasik

 
Gambar 16. Seorang pemuda Orang Asli di laluan kami, mungkin sedang mencari sebarang hasil hutan.

Gambar 17. Dengan serba kepayahan, kami melalui jalan offroad tersebut

Di penghujung laluan tepian tasik, saya membawa Mawi ke jalan lain yang berselari dengan jalan besar ke Bukit Bandaraya dan di sebelah kirinya terdapat beberapa rumah penempatan Orang Asli hutan Bukit Cherakah. Jalan tersebut kemudiannya bercantum dengan penghujung laluan offroad 'Band of MTB Rider'.

Menuju jalan pulang

Dari laluan offroad itu, kami naik semula ke laluan asal bertar (Persiaran Gunung Nuang) yang membawa kami ke persimpangan tiga menuju Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) - Seksyen 8 untuk pulang ke kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam.


Gambar 18. Penghujung laluan offroad yang bercantum dengan trek 'Band of MTB Rider'

Gambar 19. Kembali ke ketamadunan, jalan bertar dan bersimen


Kami berdua tiba di kediaman Mawi yang terletak di Seksyen 11 Shah Alam tepat jam 1830 petang. Setelah berehat sebentar dan dihidangkan minuman oleh Mawi, saya kemudiannya menuju pulang ke kediaman yang terletak di seksyen 24.



Gambar 20. Satu lagi rencana laluan yang dirancang berjaya ditempuhi oleh basikal Bridgestone saya tanpa sebarang masalah

Gambar 21. S240 ke Bukit Ramli merupakan laluan paling jauh sejak basikal Surly Long Haul Trucker (Surly LHT) ini dibeli dan dipasang

Selesai aktiviti S240 kami yang pertama !

Walaupun ianya memakan masa keseluruhan 26 jam, lebih 2 jam dari aktiviti S24O yang sepatutnya. Segala payah jerih dan kepenatan berkayuh terbalas dengan kepuasan tidak terhingga. Berpuas hati kerana dapat membawa basikal dengan beg pannier melalui kawasan berbukit - bukau di laluan Lebuhraya Guthrie (GCE), Puncak Perdana - Alam Budiman, laluan 'dragonback' yang selalu diperkatakan, jalan dalam di kampung Bukit Cherakah dan yang paling utama iaitu laluan pendakian menuju puncak Bukit Ramli disamping dapat menikmati pemandangan malam sekitar kawasan Meru, Kapar dan Klang dari tempat tinggi.

Bagi basikal jenama Surly model Long Haul Trucker milik Mawi, itu adalah jarak terjauh yang pernah dilalui sejak ianya mula dibeli lalu dipasang. Saya mendoakan agar Mawi terus maju jaya dalam aktiviti berkembara basikal yang baru diceburinya ini. Amin Ya Robbal Alamin ...


T    A    M    A    T