ADS

10 December 2012

Kayuhan NJ: Hari 2, Bahagian 2

Kesinambungan dari episod lalu boleh dibaca di sini.
Awalan penceritaan boleh dibaca di sini.

Nota:

Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah ihsan dari Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta penulisan serta gambar adalah terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik. Terima kasih. 


18hb Nov. 2011, Jumaat

Kampar 

Berkayuh sejauh lebih 30 kilometer dari Bidor, kami berempat tiba di pekan Kampar. Jika di pekan Tanjung Malim terkenal dengan pau Yik Mun nya, Kampar pula terkenal dengan biskut berperisa ayam. Perkara ini saya ketahui ketika menyertai rombongan bekas majikan meneroka Gua Tempurung beberapa tahun dahulu. Sewaktu perjalanan balik ke Shah Alam, bas kami berhenti di Kampar dan rakan-rakan sekerja yang berbangsa Cina memborong banyak biskut tersebut untuk dibawa pulang.

Melepasi deretan kedai di pekan Kampar yang berada dalam pola penempatan berjajar jika mengikut subjek geografi sekolah menengah yang masih saya ingati. Kami memilih untuk berhenti di tepi padang sebuah sekolah yang terdapat gerai menjual air tebu, air kelapa pandan dan jus pegaga melihatkan pada papantanda promosi yang diletakkan di tepi jalan. Menikmati keenakan minuman tersebut pada tengahari yang panas, memang mengasyikkan.

Saya memilih untuk membeli jus pegaga, dengan meminta untuk tidak diletakkan gula. Kata penjual wanita berbangsa Cina itu, jus pegaga baik untuk menyejukkan badan. Tidak saya ketahui kebenaran kata-kata tersebut adakah dapat dibuktikan secara saintifik mahupun cuma kata-kata manis mahu melariskan jualan. Ah Chong turut mahu mencuba dengan meminum sedikit air bungkusan saya, “tidak sedap”. katanya.


Gambar 1. Memasuki pekan Kampar

Gambar 2. Kelapa pandan ! Hmm nyumm nyummm ...


Semasa berhenti rehat, saya mengemaskini info serta lokasi kami, seperti berikut:

Renti pekena air kelapa pandan b’hampiran sekolah ACS Kampar. Info kayuhan: 32.88 km DST, 1:57:21 TM, 30.2 km/h MAX, 16.8 km/h AVG [18.11.2011, 1244 hrs] ...”


Gambar 3. Menikmati bungkusan air masing-masing


Kehadiran kami berempat menarik perhatian pelajar-pelajar yang baru pulang dari sekolah menunggu ibubapa atau kenderaan mereka datang. Pengguna jalanraya yang terlibat dalam kesesakan jalanraya akibat waktu pulang dari sekolah turut mengambil kesempatan melihat-lihat pada basikal dan diri kami dari dalam kenderaan mereka.


Gambar 4. Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan menarik perhatian kami berempat dan orang sekeliling
Gambar 5. Bersiap sedia untuk menyambung kembali kayuhan



Kampar ke Simpang Pulai

Selesai menghabiskan minuman masing-masing, kami meneruskan perjalanan dan kali ini mensasarkan Simpang Pulai sebagai destinasi seterusnya. Tidak sampai 1 kilometer berkayuh, Ah Chong memberitahu yang beliau ingin memerut, istilah kami bagi membuang air besar. Oleh kerana terdapat dua stesyen minyak bersebelahan di seberang jalan, beliau meminta kami menjaga basikalnya sementara dia menyeberangi jalan untuk ke stesyen minyak Mobil yang terletak paling hampir dengan kedudukan kami pada masa itu. Kami memilih untuk berhenti di teduhan sebuah pokok besar di tepi jalan sementara Ah Chong menguruskan hal peribadinya.

Semasa menunggu Ah Chong memerut, kami menonton kesesakan jalanraya yang diakibatkan oleh waktu pulang dari sekolah bagi mengisi waktu senggang. Tiba-tiba kami dikejutkan oleh seorang lelaki Cina, yang kelihatan seperti orang kurang upaya. Basikal yang ditungganinya dilengkapi dua tayar tambahan di bahagian belakang, dengan satu plet bertulis AWAS PEMANDU CACAT. Kami cuba berbicara dengan beliau, tetapi dia hanya menggunakan bahasa isyarat tangan yang tidak kami fahami. Setelah melihat-lihat pada basikal dan diri kami, beliau lantas beredar dan saya lihat memasuki sebuah persimpangan ke kiri jalan tidak jauh dari tempat kami berada.


Gambar 6. Ketenangan kami berehat, dikejutkan oleh kehadiran seorang yang ‘istimewa’

Gambar 7. Muzammil cuba berinteraksi dengan lelaki tersebut

Gambar 8. Umpama lagak seorang artis, “no picture please !”

Gambar 9. Puas memerhatikan kami, beliau lantas beredar



Kedai antik di penghujung pekan Kampar 
 
Sekembalinya Ah Chong dari membuang air besar di stesyen minyak seberang jalan, kami meneruskan lagi perjalanan meninggalkan pekan Kampar. Beberapa kilometer dihadapan, tidak jauh dari sebuah jambatan yang melintasi Sungai Kampar. Perhatian kami tertarik oleh deretan basikal antik yang disusun di hadapan sebuah kedai. Kedai itu terletak antara deretan kedai yang kelihatan baru beroperasi. Kami yang telah sedikit terlajak, mengambil keputusan untuk berpatah balik bagi meninjau kedai tersebut.

Apabila dihampiri, ternyata kedai dua pintu tersebut merupakan pusat menjual barangan antik. Di luarnya, diletakkan beberapa basikal lama, tempayan lama, kereta lembu dan yang paling menarik perhatian sebuah motorsikal berkuasa tinggi antik. Kami berempat memasuki bahagian kedai , menjumpai pemiliknya dan berkenalan. Dia meminta kami agar tidak mengambil gambar di bahagian dalam kedainya dan permintaannya kami hormati.


Gambar 10. Bahagian luar kedai antik yang kami singgahi

Gambar 11. Sebuah basikal antik dipamerkan untuk jualan. Harga ? Jangan tanya saya !

Gambar 12. Motorsikal yang dipamer di luar kedai, paling menarik perhatian kami berempat


Kami saling berkenalan; dimana beliau menanyakan destinasi perjalanan kami manakala kami pula banyak bertanyakan beliau mengenai beberapa barangan antik serta minat beliau dalam mengumpul dan menjual barangan tersebut. Beliau merupakan ahli kepada persatuan motorsikal antik/klasik, dan beliau berbesar hati menunjukkan kepada kami album gambarnya ketika menyertai perhimpunan motorsikal antik/klasik dalam mahupun luar negara. Beliau turut memberikan kad perniagaannya kepada kami.


Gambar 13. Gambar kenangan kami bersama pemilik kedai antik

Gambar 14. Ehhh ! Elok pula lah basikal kami disusun di situ ( :

Gambar 15. Deretan basikal kami bersama basikal antik yang dipamerkan


Puas melihat-lihat barangan yang dipamerkan dan berinteraksi dengan pemilik kedai tersebut, kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan. Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal, keempat-empat basikal dikayuh memasuki semula Jalan Persekutuan No. 1. Meninggalkan jambatan yang melintasi Sungai Kampar, saya dan rakan-rakan melalui Kampung Nyior tidak jauh dari kedai antik, kampung itu merupakan lokasi kediaman rakan saya bernama Zahirah dan keluarganya. Kali terakhir saya menziarahinya, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun dahulu. Hmm, entah apa lah khabar beliau sekeluarga.


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ... 

2 comments:

belogisam said...

salam perkenalan,, teringin nak berbasikal dalam group

Azizan Zolkipli said...

@beloGlsam: Salam perkenalan juga ! Meh lah, meh lah join berbasikal kumpulan ...