ADS

22 March 2012

Kayuhan NJ: Pengenalan

Kayuhan NJ - Kembara Berbasikal dari Kuala Lumpur melalui Selangor, Perak dan Pahang

Kayuhan NJ ini telah diinspirasikan oleh encik Nazrol Jamaludin (selepas ini akan dipanggil sebagai Nazrol), rakan kayuhan saya dari grup KayuhBeb Cycling Club [klik untuk Facebook mereka di sini dan blog di sini].

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar yang terdapat di sini.

Nazrol mengidamkan untuk berkayuh di laluan pendakian Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang. Maka dengan itu, saya telah merangka satu laluan bermula dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan idea sendiri, saranan Nazrol dan juga pandangan dari rakan-rakan Pedal Krem Riders (selepas ini akan disebut PK Riders).

Menggunakan aplikasi Google Maps bagi merancang laluan, perjalanan asal kayuhan adalah selama empat hari, dengan satu hari dijadikan hari tambahan jika berlaku sebarang kecemasan atau perkara luar jangka. Hari pertama, kayuhan dicadangkan bermula dari Kuala Lumpur ke Tapah, Perak; diikuti Tapah ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang untuk hari kedua; Kampung Raja ke Sabak Bernam, Selangor (hari ketiga) dan diakhiri dengan Sabak Bernam ke Shah Alam, Selangor.


Gambar 1. Perancangan kayuhan yang mengambil masa 4 hari untuk ditamatkan


Kayuhan pada hari pertama dianggarkan sejauh 152 kilometer, diikuti 105 kilometer pada hari kedua, 154 kilometer (hari ketiga) dan hari terakhir sejauh 122 kilometer. Jumlah jarak kayuhan adalah dari 533 kilometer. Kayuhan hari kedua adalah sangat mencabar, kerana membabitkan laluan berbukit lebih 50 kilometer dari Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja, Cameron Highlands.


Gambar 2. Jarak yang akan kami lalui mengikut hari kayuhan, disamping jarak beberapa lokasi untuk info


Jemputan berkembara basikal ini telah dihantar melalui email dan mesej peribadi di Facebook kepada beberapa rakan terdekat, namun ada juga rakan kayuhan yang mengetahui perancangan ini melalui info mulut ke mulut. Beberapa orang rakan memberitahu berminat untuk mengikuti, dan mereka pun mulalah membuat permohonan cuti kepada majikan masing-masing. Ada yang mendapat kelepasan, ada juga yang gagal mendapat kebenaran.

Seminggu lebih sebelum hari kayuhan bermula, pencetus idea kayuhan iaitu encik Nazrol tiba-tiba mendapat arahan dari majikannya bagi menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang pada hari kedua kayuhan. Setelah tidak dapat mengelak dengan diwakili oleh individu lain ke mesyuarat itu, beliau terpaksa menarik diri dari kayuhan ini. Biarpun kayuhan ini tidak lagi disertai oleh Nazrol, nama kayuhan ini masih dikekalkan untuk memberi penghormatan terhadap semangat dan inspirasi beliau.

Sebelum saya ceritakan secara terperinci kisah perjalanan kembara berbasikal bermula episod seterusnya, ingin saya kongsikan fakta kayuhan untuk memberikan idea dan gambaran awal pada pembaca. Fakta - fakta kayuhan tersebut saya petik dari entry laman blog Pedal Krem Riders. 

FAKTA KAYUHAN:

4 basikal digunakan

- seunit Jamis Allegro 2X, seunit Giant XTC Race dan 2 unit Bridgestone
.

4 individu penyertaan
- Ah Chong, Muzammil, abang Joe Amad dan Wakjan.

2 peringkat umur penyertaan

- tiga individu berusia 30'an dan seorang 50'an.


5 peringkat perjalanan

- Kuala Lumpur ke Bidor, Perak.

- Bidor ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.

- Kampung Raja ke Tapah, Perak.

- Tapah ke Sabak Bernam, Selangor.

- Sabak Bernam ke Shah Alam, Selangor.


5 hari 4 malam perjalanan

- bermalam di Bidor, Kampung Raja, Tapah dan Sabak Bernam
.

4 negeri dilalui

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang.

5 kali sempadan negeri dilangkaui
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di Jalan Ipoh berhampiran Selayang Baru,
- Selangor dan Perak, di atas jambatan melintasi Sungai Bernam berhampiran Tanjung Malim, 
- Perak dan Pahang, di sebuah tempat berpapantanda sempadan, berbaki 12 kilometer menghampiri Kampung Raja 
- Pahang dan Perak, di Ringlet, Cameron Highlands, Pahang dan 
- Perak dan Selangor, di atas jambatan melintasi Sungai Bernam di tengah perjalanan antara Simpang Empat Hutan Melintang dan Sabak Bernam.
 
11 daerah dilalui

- Selangor: Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Petaling,
 
- Perak: Batang Padang, Kampar, Kinta dan Hilir Perak
- Pahang: Cameron Highlands. 

13 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan / PBT dimasuki

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Selangor: Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Klang & Majlis Bandaraya Shah Alam.
- Perak: Majlis Daerah Tanjung Malim, Majlis Daerah Tapah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan.
- Pahang: Majlis Daerah Cameron Highlands.

- 500+ km perjalanan

jumlah jarak kayuhan meliputi 558.70 kilometer (dari meter basikal saya)

- 35+ jam perjalanan

mengambil masa 35 jam 39 minit 46 saat, terkecuali waktu berhenti rehat, makan-minum, berteduh dari hujan lebat, kebocoran tiub, masalah teknikal basikal dan sebagainya.
 
 
 
"He who is not courageous enough to take risks will accomplish nothing in life." - Muhammad Ali
 

4 comments:

AndaQue said...

Wow.... semangat tu,saya pun suka berbasikal tapi tak pernah mengayuh sejauh tu. Kalau minat kenapa tak cuba mengayuh hingga keluar Msia? Tengah muda awak yang suka sukan ni patut mencuba......

Azizan Zolkipli said...

AndaQue: suka berbasikal juga ? wahhh, geng lah kita ni ekk ! insyaAllah, sedang mengumpul kekuatan diri & ekonomi. kalau ada penajaan, dengan segera saya boleh mulakan cepat ni ...

AndaQue said...

Mudah-mudahan, dulu saya pernah diajak seorang jepun untuk kayuh bersama dari Lhasa Tibet ke Kathmandu Nepal. Masaalahnya saya ketika itu baru sangat sampai ke Lhasa dari Nepal... Jika berpeluang awak patut try route ini kerana sekarang jalan di dataran tinggi tu kebanyakannya dah ber turap cantik dan selasa buat kayuhan....

Azizan Zolkipli said...

AndaQue: Mudah2an juga, Amin ... saya berhasrat untuk cuba Silk Route. tapi jika tak dapat yang itu, dapat peluang kat tempat/laluan lain pun OK juga ...