ADS

23 November 2011

Sapaan audio dan visual

Sepanjang pengalaman bertouring ni, sudah pastinya kita akan bertemu dengan pelbagai karenah manusia di sepanjang perjalanan. Antara yang lumrahnya ialah kita akan disapa baik secara audiovisual mahupun kombinasi keduanya sekali.

Audio, ingin mengambil contoh boleh jadi berupa ucapan salam ("Assalamualaikum / Selamat Pagi / Good Morning / Haiii / Hello" dsbnya),  jeritan (Wooooo ... / Ooppp ... / Besttt ... / Malaysia Boleh !! / Cayalahhh !!" dsbnya) serta pembunyian hon kenderaan dengan pelbagai tone, panjang-pendek nada dan kekuatan bunyi.

Manakala sapaan secara visual; boleh jadi dengan mengangkat tangan, menunjukkan tanda isyarat bagus (thumb up) atau tanda isyarat bagus berkembar (double thump up), tabik hormat, lambaian tangan (biasanya oleh kanak-kanak), isyarat peace dan pelbagai lagi.

Untuk entry ini, saya ingin mengupas tentang pembunyian hon kenderaan dan signifikannya terhadap basikalis touring. Artikel dipetik dari perkongsian teman di laman sosial Fesbuk. Setelah dikaji dan berdasarkan pengalaman peribadi, ada benarnya juga keterangan tersebut ( : 

Maksud disebalik bunyi-bunyi hon:

1 x HON PENDEK - pengguna jalanraya tu nak cakap “HAI” ...

2 x HON PENDEK - pengguna jalanraya tu nak cakap “TERIMA KASIH” atau “JUMPA LAGI” ...

3 x HON PENDEK - pengguna jalanraya tu nak suruh kenderaan depan cepat sikit (biasanya bila lampu isyarat bertukar warna hijau dan kenderaan hadapan tak reti-reti nak jalan) ...

1 x HON PANJANG - pengguna jalanraya tu beri amaran pada kenderaan lain bahawa diorang memandu secara merbahaya atau hampir menyebabkan kemalangan. Dalam konteks berbasikal touring, biasanya ini berlaku di laluan yang mempunyai bahu jalan sempit, kenderaan lebar (lori) tidak dapat memotong saya / kami kerana terdapat kenderaan lebar datang dari arah bertentangan.

2 x HON PANJANG - pengguna jalanraya tu marah: “HOI !! ... BODOH ... TAKDE OTAK KE ?” Dalam kes berbasikal touring, ia lebih kurang seperti kes 1 x HON PANJANG tetapi mungkin berlaku di kawasan berbukit yang mengakibatkan saya / kami tidak dapat meningkatkan kelajuan lalu membuatkan pemandu kenderaan tersebut mulai hilang sabar lantas membunyikan hon mereka.

4 X atau lebih HON PENDEK - pengguna jalanraya tu memandu sambil membuat hebahan: “TILAM, TILAM !! ... TILAM LAMA, TUKAR BARU ... TILAM, TILAM !! Atau "SURATKHABAR LAMA, BATERI LAMA ..." (ulang berkali-kali diselangi 4 x HON PENDEK) hahahahaha ...


Mau jatuh pengsan kalau masa touring kena hon camni

16 November 2011

26 fakta tentang seorang basikalis 'touring' bernama Azizan Zolkipli ...

Salam sejahtera pembaca-pembaca yang dihormati sekalian. Ooppss, sila jangan ubah saluran anda kerana entry kali ini lain macam sikit. Tapi apa-apa hal pun, tetap tidak lari dari skop berbasikal touring. Moga kalian sudi membacanya hingga ke klik tetikus [terjemahan: mouse] yang terakhir ( :

Sebenarnya, aku rajin jengah blog Gadis Bunga, lebih-lebih lagi selepas dia add sebagai friend dalam Facebooknya, tanpa aku sedari. Ohh, so sweet ... Ehhh, tak, tak. Itu bukannya sebab utama ! Selain dari dia rajin mengemaskinikan blognya (bukan macam aku yang malas ni),  ia turut disertai gambar-gambar yang dimana aku ni memang juga seorang peminat fotografi. Dalam blog beliau, terdapat ruangan Best Travelling Blog yang menempatkan pautan ke blog Basikal Touring aku ni disamping blog Udey Ismail dan Backpacker Busuk.

Nak dijadikan cerita, aku komen dalam satu entry cik Fatt, selaku empunya blog Backpacker Busuk tu. Entry nya berjudul 26 fakta tentang seorang kaki jalan. Beliau mempelawa untuk aku turut serta menjawab soalan ala assignment tu. Rasa macam berminat juga untuk menyertai, lebih-lebih lagi setelah membaca beberapa entry dari rakan-rakannya dalam pelbagai jawapan yang tulus, kreatif dan bersahaja dengan disertai gambar-gambar posing ala diva ...

Oleh kerana terlibat dalam menguruskan program 'OGKL Family Day 2011' di Janda Baik, aku tidak yakin dapat cukup masa untuk menyiapkan entry tersebut sebelum tarikh 13.11.2011, jam 0800 pagi. Setelah berkomunikasi melalui Twitter, cik Fatt masih mahukan aku turut serta dan memberikan kelainan iaitu menjawab 26 persoalan tersebut dalam skop berbasikal touring. Dengan due date yang dipinda, aku menyahut seruan beliau untuk turut serta dalam menjawab set persoalan itu. 

OK, tanpa mahu membuang masa, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, aku merasmikan jawapan kepada persoalan tersebut. [clap, clap, clap ...konon-konon diiringi sound effect orang tepuk tangan ramai-ramai masa aku potong riben]

Nota:
Segala tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Terima kasih. 

(1) Perkenalkan diri anda secara ringkas 

Nama dalam surat beranak dan Mykad, Azizan Bin Zolkipli. Berzodiakkan Aquarius kalendar omputih dan kuda kalendar Cina. Lahir di Kuale Kangsor, Perak. Dibesarkan di Perak dan Pahang, melanjutkan pelajaran di Pulau Pinang dan Selangor, tempat mencari rezeki dan berteduh dari hujan panas sejak habis belajar sampailah sekarang di Selangor. Kesan dari menetap di pelbagai negeri ni membuatkan aku hilang sifat kenegerian walaupun dilahirkan di Perak.

Dipanggil 'Izan / Ijan' dikalangan ahli keluarga,  'Pakcikayo' oleh teman-teman pengajian di SMV Pulau Pinang dan MFI serta 'abang Ijan' oleh anak-anak gadis tempatan (Awww...) Satu lagi panggilan dan mungkin sampai bila-bila, gelaran 'Wakjan' oleh rakan-rakan penggiat aktiviti pendakian gunung, rakan backpacker mahupun rakan berbasikal. Nak berkenalan lebih lanjut, korang tengoklah sendiri album-album di sini. Nanti kalau terlebih, jadi tak ringkas pulak kan. Jangan marah haaa ... 

(2) Sejak bila anda terjebak dalam dunia travel berbasikal touring ? 

Hmmm, sejak bila ekk ? Sekejap, kena ingat balik dan buka diari lalu. Tinggg, 'mentol minda' menyala ... Orait, secara rasminya selepas berjaya mengadakan kayuhan solo Sabak Bernam - Pulau Pangkor - Sabak Bernam pada Nov. 2008 lalu. Masa tu menggunakan basikal jenama Proton model T-Blaze yang dipinjam, dengan saiz rangka (frame) basikal yang kecil dan ilmu membaiki kerosakan basikal yang masih cetek. Aku gagahi juga dengan azam dan semangat yang membara, chewaaahhh ... Syukur pada Tuhan, aku berjaya menamatkan perjalanan dua hari tersebut ditemani adik bongsu yang bermotorsikal dengan jumlah jarak hampir 210 kilometer selama 10.5 jam kayuhan. Kronologi kayuhan dan gambar-gambar di sini. 

(3) Yang mana satukah menggambarkan diri anda; traveller atau tourist ? 

Aduhaiii, ada beza ke maksud kedua-dua perkataan ni. Maaflah, sebelum ni aku main belasah aje tak peduli apa pun. Choppp, mahu periksa dulu apa makna  keduanya.

*Traveller = one who travels or has traveled, as to distant places / to go from one place to another, as on a trip; journey / one that goes on a trip or journey. 

*Tourist = a person who travels for pleasure, usually sightseeing and staying in hotels / a person on an excursion or sightseeing tour.

Dari hasil selidik mengikut kefahaman sendiri dari pengertian kedua perkataan di atas, ternyatalah aku lebih kepada seorang traveller. Tidak syak lagi ... Hanya jika aku ditaja, barulah nak bertukar menjadi tourist kot ... Jom, jom, sapa sudi nak menaja aku ... 

(4) Konsep berjalan jenis apakah yang selalu diamalkan? i.e., memandai sendiri, touring agency 

Sudah pastilah mengamalkan konsep 'memandai sendiri', sebab rasanya belum pernah jumpa agensi yang menguruskan perjalanan berbasikal touring di Malaysia berbanding beberapa negara Indo - China (Vietnam / Thailand / Cambodia / Laos), USA mahupun negara-negara Eropah lain yang mempunyai tour agency khusus untuk kembara berbasikal.

Dengan 'memandai sendiri', kita dapat merancang laluan, singgahan dan juga hentian mengikut masa dan situasi yang difikirkan sesuai. Off topic sekejap, kalaupun ada nanti syarikat seumpamanya di Malaysia, belum tentu aku akan mengambil khidmat mereka kerana aku lebih suka menggunakan konsep 'R & R' (Redah & Redha) hehehe ...

(5) Siapakah travel touring partner anda ? 

Aku suka 'bertukar-tukar pasangan, tak kira lelaki atau perempuan'. Haippp, jangan nak 'otak kuning' dengan penyataan ini ekk ! Maksudnya beginiaku mempunyai hak mutlak untuk menentukan individu mana yang akan menjadi touring partner. Tidak kira jantina, bangsa, umur mahupun latar belakang. Siapa pun boleh asalkan sanggup berkayuh dalam jarak dan masa yang kadang-kadang luar dari kebiasaan, sudi mengorbankan keselesaan, boleh bekerjasama dan bertoleransi dengan aku mahupun rakan touring lain, tidak mementingkan diri sendiri dan bersedia dengan sebarang tindakan luar jangka.

Kebiasaannya, aku mengutamakan rakan-rakan dari grup Pedal Krem Riders (selepas ini akan disebut sebagai PK Riders) iaitu komuniti kecil berbasikal yang aku sertai. Ini adalah kerana mereka terdiri dari rakan-rakan pendakian gunung yang aku telah kenal lama dan paling sesuai dari segi fizikal mahupun mental untuk menyertai kayuhan touring. Mengikut rekod, rakan PK Riders, yang paling banyak menyertai aku bertouring ialah Muzammil diikuti Ah Chong dan Hairul Anwar.

Pada individu yang pernah bertouring dengan aku, diucapkan terima kasih atas kesudian meluang dan berkongsi masa, tenaga, kos, hujan-panas-angin serta susah-senang bersama. Jangan berkecil hati jika tidak lagi diajak bersama, mungkin kalian kurang sesuai bersama aku atau dengan gandingan rakan touring yang lain. Aku terpaksa memilih kombinasi terbaik yang difikirkan sesuai, maafkan aku ... InsyaAllah pada kombinasi yang sesuai nanti, korang akan digandingkan semula ... 

Part II: 

(6) Bilakah kali pertama anda bercuti bertouring di luar negara ? 

Pertama kali berbasikal di luar negara, secara ultralight touring aje pun iaitu pada Mei 2007, di Vientiane, Laos. Basikal disewa dari hotel tempat kami menginap pada kadar harga tidak sampai RM 10 (lupa harga sewaan sebenar) untuk sewaan selama 24 jam. Seronok juga mutar-mutar di bandar Vientiane dengan basikal ni, walaupun pada mulanya agak kekok kerana jalan di sana adalah secara 'left hand drive'. Album gambar di sini. 

(7) Senaraikan nama tempat / bandar / negara yang telah dilawati dengan berbasikal setakat ini. 

Dalam negara, 2008: 

- Sabak Bernam ~ Pulau Pangkor - Sabak Bernam (SB-PP-SB): Nov 2008
- Kuala Lumpur - Port Dickson - Kuala Lumpur (KL-PD-KL): Feb 2009

Dalam negara, 2009:

- Sungai Way ~ Putrajaya ~ Melaka (SW-P-M): Mei 2009
- Pulau Pangkor (PP): Jul 2009
- Sabak Bernam ~ Pangkor ~ Teluk Intan ~ Sabak Bernam (SB-PP-TI-SB): Ogos 2009
- Sunway Kayangan ~ Kuala Selangor ~ Sunway Kayangan (SK-KS-SK): Dis 2009
- Simpang Renggam ~ Tanjung Piai ~ Simpang Renggam (SR-TP-SR): Dis 2009 

Dalam negara, 2010:

 - Cherating ~ Kuala Terengganu ~ Cherating (C-KT-C): Feb 2010
- Kuala Kubu Bharu ~ Bukit Fraser ~ Kuala Kubu Bharu (KKB-BF-KKB): Mac 2010
- Puchong ~ Tanjung Bidara ~ Puchong (P-TB-P): Apr 2010

- Sabak Bernam ~ Taiping ~ Kuala Kangsar ~ Sabak Bernam (LTd Perak): Jun 2010
- Puncak Perdana ~ Kuala Selangor ~ Puncak Perdana (PP-KS-PP): Okt 2010
- Pulau Pinang ~ Perak ~ Selangor ~ Kuala Lumpur (Slowly2 Go Down): Nov 2010 

Dalam negara, 2011: 

- Kuala Lumpur ~ Bukit Fraser ~ Kuala Lumpur (KL-BF-KL): Jan 2011
- Temerloh ~ Tasik Bera ~ Tasik Chini ~ Temerloh (T-B-TB-TC-T): Feb 2011
- Shah Alam ~ Sabak Bernam ~ Shah Alam (SA-SB-SA): Mac 2011

- Kuala Lumpur ~ Melaka ~ Port Dickson ~ Kuala Lumpur (KL-M-PD-KL): Apr 2011
- Shah Alam ~ Port Dickson ~ Shah Alam (SA-PD-SA): Sep 2011
- Telok Kemang - Morib - Shah Alam: Sep 2011

Luar negara:

- Vientiane, Laos: Mei 2007. Album gambar pada pautan di soalan no. (6)
- Phnom Penh, Cambodia:  Feb 2010 

(8) Pernahkah anda melawat berbasikal touring di sesebuah tempat / negara yang sama lebih daripada sekali? Jika YA sila nyatakan nama tempat tersebut. 

(a) Pulau Pangkor, Perak: 3 kali
(b) Port Dickson, Negeri Sembilan: 6 kali
(c) Bukit Fraser, Pahang: 2 kali
(d) Pengkalan Balak, Melaka: 2 kali
(e) Taiping, Perak: 2 kali
(f) Kuala Kangsar, Perak: 2 kali 

(9) Letak gambar salah satu tempat yang ingin anda ulangi dan nyatakan kenapa.


En route Cherating - Kuala Terengganu - Cherating

Gambar-gambar di atas adalah kompilasi perjalanan Kayuhan Cherating - Kuala Terengganu - Cherating yang telah dilakukan pada Feb 2010 lalu. Aku ingin mengulangi destinasi tersebut, kerana sebab-sebab di bawah:

(a) Jarak Cherating ke Kuala Terengganu ialah 175 kilometer sehala dan kami lakukan kayuhan dalam jangkamasa cuma sehari. Mula berkayuh jam 0830 pagi dan sampai di Kuala Terengganu tepat jam 0000 tengah malam (15.5 jam !). Adalah rugi untuk bertouring dalam waktu malam kerana tidak nampak keadaan dan pemandangan sekeliling ) :
Bak kata John Ruskin, "Walk Ride while ye have the light, less darkness come upon you"

(b) Mahu membahagikan jarak perjalanan sehala kepada 3 hari, jika tidak pun dapat 2 hari sudah memadai.

(c) Terlalu suka akan pemandangan dan keadaan di Pantai Kemasik, ingin berada lebih lama atau jika boleh hendak bermalam di situ.

(c) Mahu singgah di semua pantai yang ada di sepanjang perjalanan. 

(d) Tidak sempat untuk berkunjung ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin, Rantau Abang.

(e) Mahu singgah di mana-mana pusat pembuatan kraftangan dan melihat sendiri bagaimana ianya dihasilkan.

(f) Tidak puas makan keropok lekor dan satar yang sedap.

(g) Kebanyakkan laluan mempunyai bahu jalan yang lebar, adakalanya sampai muat untuk 3 buah basikal bersaing di sisi sekaligus. Boleh berkayuh sambil berbual dengan kawan di sebelah.

(h) Hendak bertemu kenalan Fesbuk di Terengganu yang meminati sukan berbasikal. 

(10) Nyatakan 3 tempat / bandar / negara yang ingin anda kunjungi dengan berbasikal di masa hadapan. 

(a) Pulau Borneo, merangkumi negeri Sabah dan Sarawak serta negara Brunei Darussalam.

(b) Laluan Sutera (Silk Route) 

(c) Ostolia (Australia)

(11) Ceritakan pengalaman kelakar / manis yang pernah dialami semasa bercuti berbasikal touring. 

(a) Melakukan sambutan harijadi dengan cara berbasikal touring secara hatrik, iaitu tiga tahun berturut-turut dimulai pada tahun 2009 (Kuala Lumpur - Port Dickson - Kuala Lumpur), tahun 2010 (Cherating - Kuala Terengganu - Cherating) dan terbaru pada tahun 2011 (Temerloh - Tasik Bera - Tasik Chini - Temerloh). Moga diberikan lagi kesempatan untuk melakukan yang sama pada tahun 2012 pula, insyaAllah mudah-mudahan ...

(b) Seringkali disapa dengan ucapan Hello / Good morning / Good afternoon / Welcome oleh warga tempatan yang aku / kami temui semasa berkayuh kerana menyangkakan aku / kami pengembara dari negara luar. Aduhhh, muka aku yang jelas nampak kacukan Melayu - Jawa ni pun diaorg nampak macam warga asing. Atau diaorang nampak aku ni macam kacukan Pan - Afrikan ? Mentang-mentanglah kulit aku gelap dan tona warna terkeluar dari skala Garnier huhuhu ...

(c) Buat julung kalinya dapat menghadiri dan memeriahkan majlis perkahwinan kenalan dengan berbasikal semasa melakukan Kayuhan Z (Zaza) pada Apr ~ Mei 2011 lalu.

(d) Berjaya memujuk pengusaha chalet di Teluk Nipah untuk memberikan harga spesel kepada kami berdua [merujuk pada perkara (d) soalan no. 12 di bawah] . Chalet yang pada hari biasa (weekday) RM80, bertukar menjadi RM120 pada cuti hujung minggu. Berkat kesabaran dan 'manis mulut' memujuk penjaga chalet itu, kami diberikan sebuah dorm besar berkatil dua tingkat dan berkipas siling yang boleh memuatkan 18 orang pada harga RM20/pax. Apalagi, siap golek-golek aaa kat banyak katil dalam tu, basikal pun dibawa masuk dalam bilik hahaha ... Terima kasih abang penjaga chalet ( :

(e) Dapat merasa pelbagai minuman air tebu, nira nipah, cendol dan ABC yang dijual di tepi jalan. Minuman ni semua manis-manis belaka, kata nak pengalaman manis bukan ? Hahaha ... 

(f) Apabila terjumpa sesuatu yang di luar jangkaan, kelakar dan jarang dijumpai. Contoh, sila lihat gambar lampiran di bawah

Bekas air di Stesyen Minyak Petronas, Kuala Selangor
Jalan Jepun, Tanjung Karang, Selangor
Vandalisma papantanda @ Simpang Lima, Selangor


(12) Ceritakan juga pengalaman memalukan / buruk kurang baik yang pernah dialami semasa bercuti berbasikal touring. 

(a) Adat bagi kenderaan yang beroda; mestilah pancit, kurang angin atau bocor. Ooppsss, ini terkecuali buat keretapi dan jentera penggelek jalan, ataupun dipanggil sebagai stemroll hahaha ... Walaupun ia cumalah perkara yang kecil, tetapi ia tetap akan menjadi satu pengalaman pahit lebih-lebih lagi di kawasan yang terbuka dan panas dengan tiada satu teduhan pun di kiri kanan jalan, ketika dalam keadaan hujan lebat, semasa perjalanan mendaki bukit, mahupun ketika baru sahaja beberapa minit mula berkayuh. Proses menggantikan tiub gantian sedikit sebanyak mengganggu waktu dan momentum kayuhan.

(b) Crank bearing basikal dua orang rakan pecah ketika kami dalam perjalanan ke Behrang Ulu semasa Kayuhan Slowly2 Go Down Nov. 2010 lalu. Di hari terakhir kayuhan, kami terpaksa membuang masa mencari kedai basikal di sekitar kawasan Tanjung Malim dan mujurlah terdapat satu kedai di pinggir pekan yang boleh memperbaiki kerosakan tersebut.

(c) Dua batang jejari tayar (spokes) seorang rakan telah patah di bahagian pangkal hub, lalu mengakibatkan rimnya menjadi bengkok akibat tidak dapat menahan berat badan dan muatan yang dibawanya semasa Kayuhan Dua Tasik di Pahang. Cerita lanjut di sini. Sebelum itu, perkara yang sama terjadi pada sahabat yang sama semasa aku dan dua orang rakan berkayuh dari Kuala Lumpur ke Bukit Fraser. Bacakan kisahnya di sini. Maaf, aku malas nak taip panjang-panjang hehehe ...

(d) Pengalaman dimaki hamun oleh seorang lelaki tidak dikenali yang berada di satu kawasan gelap. "Tiba - tiba, aku dan seorang rakan mendapat jeritan berbunyi begini: "Woiii, beli motorsikal lah woiii ... Kedekut ke ? Takde duit ke, naik basikal" ... - petikan dari cerita penuh di sini.

(e) Terlupa bawa kad ATM semasa kali pertama berkayuh touring secara solo ke Pulau Pangkor dengan ditemani oleh adik bongsu yang bermotorsikal. Bukan aku seorang aje yang tertinggal, adik aku tu pun tertinggal juga kad ATM dia aduhaiii ... Dalam dompet aku masa tu cuma ada RM7 + USD 25 lebihan duit balik dari trip ke Vietnam. Dah jadi satu hal pula mencari pengurup wang (money changer) sekitar Seri Manjung ni tak berjumpa.

Nasib baiklah terdapat satu pengurup wang di pekan Lumut. Sesudah ditukar, dapatlah wang RM 89.00. Dengan duit itulah, kami gunakan secara berhemah untuk membeli tambang bersama kos membawa motosikal dan basikal untuk feri pergi balik Lumut - Pangkor, membeli makan tengahari / malam / sarapan pagi untuk dua hari satu malam, menginap di Teluk Nipah, membeli makanan dan minuman semasa berkayuh balik dan juga mengisi minyak motorsikal adik bongsu aku itu. Tak dapat beli souvenir huhuhu ...

(f) Di laluan mendaki selorong yang mempunyai bahu jalan sempit, kebiasaannya kenderaan lebar tidak dapat memotong aku / kami jika terdapat kenderaan dari arah bertentangan. Ini membuatkan mereka hilang sabar lalu membunyikan hon dengan sekuat mungkin mengakibatkan kami terkejut lalu terbabas ke sebelah kiri jalan. Jika aras bahu jalan dan permukaan tidak bertar tersebut sama rata atau cuma sedikit berbeza, tidak mengapa. Jikalau beza keduanya sangat tinggi atau mempunyai jurang seolah longkang, bayangkan apa yang akan terjadi kepada aku / kami ...

Hmm, mungkin ada beberapa lagi kot tapi minda aku ni tak dapat nak mengingatinya lagi buat masa ini ... 

(13) Adakah anda suka mencuba masakan tempatan bila berkunjung ke sesebuah negara / tempat ? 

Sudah semestinya, itulah perkara yang wajar dilakukan oleh seseorang yang mengaku dirinya seorang traveller.

(14) Letak gambar makanan tersebut dan ceritakan tentang keistimewaannya.


Mentarang

Keistimewaannya:

(a) Ianya haiwan bercengkerang unik dan boleh didapati di kawasan antara Sekinchan dan Sungai Besar, Selangor. Paling banyak ianya dijual di tepi jalan sekitar kawasan Sungai Leman. Tak pernah pula aku tengok ianya dijual di lokasi lain secara meluas. Maafkan aku jika fakta ini tak betul ...

(b) Boleh dimasak pelbagai menu; bakar, rebus, goreng, masak tumis, kari, masak paprik dan sebagainya.

(c) Harga sederhana, taklah mahal  dan murah sangat.

(d) Pada penggemar haiwan cengkerang lain seperti kerang, lala, siput sedut, pepahat, remis, kepah dan lain-lain, ianya patut dicuba kerana keunikan rasanya.

Off record: Menatang ni dah lama aku tengok dalam perjalanan pergi-balik kampung, tapi sekali pun tak pernah singgah. Bila dah berbasikal ni, barulah aku teringin rasa nak singgah. Bila dah singgah, alamak sedap pula ! Lepas dari peristiwa itu, setiap kali aku nak balik kampung pada siang hari tak kiralah berkereta ke berbasikal ke aku mesti mau singgah ke gerai tu.

Ada lagi sebenarnya, tapi oleh kerana masa tidak mengizinkan jadi aku ceritakan yang ini sahajalah ...

Part III: 

(15) Yang mana menggambarkan diri anda; backpack atau beg troli pannier ?

Sebelum itu, biarlah aku terangkan dulu apa dia beg pannier tu ? Ia adalah beg khas bagi pengembara berbasikal yang disangkut pada rack basikal. Untuk info lanjut, jengah sini.

Aku boleh katakan, secara amnya nisbah penggunaan backpack & beg pannier adalah lebih kurang 20/80, dimana aku lebih banyak kali mengggunakan beg pannier semasa sedang bertouring. Tetapi dalam kes tertentu, ada juga aku membawa keduanya sekali. 

(16) Letak gambar bag(s) tersebut dan ceritakan sedikit sejarah dan berapa banyak tempat / negara yang ia telah ikut anda berjalan.


Beg Lafuma

Beg ini dibeli lebih kurang tiga tahun lalu di butik Lafuma Bangsar dengan harga hampir mencecah RM290. Antara sebab aku membelinya ialah kerana saiznya yang sederhana iaitu 30 liter, fabrik Cordura nya yang tahan lasak, bahagian struktur belakang yang tidak bertulang memudahkan ia dilipat, dan mempunyai strap pengetat yang membuatkan ianya sesuai untuk aktiviti dinamik seperti berlari, mendaki gunung dan berbasikal.

Hanya digunakan pada awal zaman berbasikal, kerana pada masa itu belum lagi memasang basikal dengan rack dan membeli beg pannier. Sekarang hanya digunakan untuk balik kampung mahupun travel kemana-mana.


Beg pannier (bulatan merah)

Beg berjenama O-GNS ini merupakan pannier pertama yang aku miliki. Dibeli dari sebuah kedai basikal di Sungai Way pada harga RM110. Ia banyak mengikuti aku berkembara dari mula hinggalah sekarang. Pernah dilucutkan tugas setelah aku membeli beg pannier yang kedua. Kini, tugasnya disambung kembali setelah beg pannier kedua aku mengalami kerosakan teruk. 

Kelebihan beg ini ialah ianya tidak mudah jatuh kerana diikat oleh 6 strap keselamatan, 4 di bahagian atas dan 2 di bahagian sisi serta mempunyai beberapa compartment berasingan. Keburukannya pula ialah kesukaran memasang dan membuka, tidak kalis air serta sukar dibawa kemana-mana kerana tidak mempunyai tali sandang. Sementara aku belum beli beg pannier yang lebih mahal dan baik, nampak gayanya guna beg ini dulu lah.


Pannier drybag (bulatan merah)

Pannier drybag berjenama Top Peak ini dibeli sekitar 2 tahun lepas di kedai basikal Rodalink USJ Taipan pada harga RM400. Banyak kali dibawa bersama iaitu ketika ke Terengganu, Tanjung Piai, Le Tour de Perak, Slowly2 Go Down, Bukit Fraser dan beberapa trip lagi dengan diakhiri di Kayuhan Dua Tasik di Pahang akibat mengalami kerosakan teruk.

Kebaikan beg ini ialah mudah dipasang-buka kerana menggunakan konsep cangkuk (hook), kalis air, dan senang dibawa kerana mempunyai tali untuk disandang. Keburukannya ialah cangkuk yang tidak berapa bagus dengan beberapa kali beg terjatuh semasa berkayuh, material yang tidak tahan dan hanya mempunyai satu compartment dengan tiada poket sisi.

Untuk info, beg ini telah rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi. Jadi, aku dan kamu tidak akan menjumpai lagi kelibat beg ini pada mana-mana kayuhan ...


Hydration bag c/w water bladder (bulatan merah)

Beg paling bongsu dalam koleksi backpack yang aku miliki. Beg galas kedua yang berusia hampir dua tahun ini diperolehi dari kiriman seorang kawan yang menetap di Alor Setar dan kebetulan ke Padang Besar, Perlis. Berjenama Deuter (tiruan kot?) pada harga RM60, ia dibekalkan dengan water bladder berkapasiti 1 liter. Tidak kalis air, tetapi mempunyai beberapa compartment seperti ruangan meletak water bladder, ruangan utama, dan 2 poket di belakang bersama ruangan khas bagi menempatkan helmet. Di bahagian penggalas bahunya, terdapat ruangan kocek untuk meletak telefon bimbit.

Beg ini aku akan bawa jika hendak membawa kamera DSLR. Disamping itu, ia turut dimuatkan dengan dompet, kunci, tiub gantian, tuala muka kecil dan juga kain pelikat untuk kegunaan solat. Telah banyak kali menemani aku bertouring, kadangkala turut digunakan untuk berkayuh offroad.


Dry bag (bulatan merah)

Drybag berjenama Sea to Summit ini dibeli pada harga USD 7 ketika aku berkunjung ke Luang Prabang, Laos pada 2007 lalu. Beg ini kalis air, digunakan dengan cara menggulung dan dikuncikan dengan klip yang tersedia. Hampir keseluruhan perjalanan touring aku, beg ini akan setia menemani samada diletakkan di luar atau berada dalam beg pannier mahupun backpack. Digunakan bagi melindungi sleeping bag, pakaian tidur, pakaian solat, kamera, mahupun dompet atau telefon bimbit.

(17) Senaraikan 3 barang yang wajib dibawa setiap kali bercuti bertouring 

(a) Kamera, lengkap bersama bateri gantian dan pengecas. Tetapi sejak aku kehilangan kamera Nikon D200 semasa bercuti di Beijing pada 2010, sekarang nak bertouring ni terpaksalah meminta belas ihsan saudara / kawan-kawan untuk meminjam kamera huhuhu ... Kamera penting kerana aku ni bukanlah jenis yang suka membawa buku nota bersama pen untuk mencatatkan peristiwa, biarlah foto yang menceritakan segalanya. Lagipun, pada setiap gambar kan dah ada sekali info tarikh bersama masa. AMARAN (untuk peringatan diri sendiri): Jangan lupa periksa setting tarikh dan masa kamera setiap kali pada awal penggunaan mahupun selepas menukar bateri yang baru. 

(b) Tiub gantian, bersama kombinasi set alat pembuka tayar dan pam tangan - Memang wajib bawa ! Kalau tak, jika tayar pancit di mana-mana lokasi yang tiada kedai basikal, susah wooo ... AMARAN (untuk peringatan diri sendiri): Pastikan saiz tiub yang dibawa bersesuaian dengan saiz tayar atau rim yang digunakan dan tiub masih berkeadaan baik.

(c) Lampu keselamatan; headlight & blinker - Sebagai persediaan jika terpaksa berkayuh pada malam hari atau keadaan hujan. AMARAN (untuk peringatan diri sendiri): Pastikan bracketnya sedia terpasang pada handlebar dan seatpost, berkeadaan baik serta membawa bateri gantian. 

p/s: Fatt, apasal kau minta cuma 3 barang wajib aje ? Udah aku tertinggal nak masukkan helmet sebagai barang wajib-bawa. "No helmet, no ride". Safety first ! Selain itu, ada beberapa lagi barang wajib-bawa yang tak dapat disenaraikan, adoyaiii ...

18. Senaraikan 3 barang yang kalau tertinggal pun takpe 

(a) Bantal bucuk - Hehehe ... Bila dah bertouring ni, tidur sekadar berbantal lengan atau beg mahupun tuala yang dilipat pun tak jadi masalah punya. "I'll sleep wherever i may roam" ...

I'll sleep where ever, when ever ...

(b) Toiletries (sabun / ubat gigi / syampu / buih mandian) - Ini kalau tertinggal pun takpe, boleh singgah beli di mana-mana kedai semasa dalam perjalanan. Paling senang, 'pau' aje dari rakan-rakan kayuhan lain hahaha ... Berus gigi takde pun takpe, boleh guna jari telunjuk ( :

(c) Buku nota & pen - Kalau ada, rajinlah tulis apa yang nak ditulis sebagai peringatan. Jika tak bawa, tidak mengapa sebab kalau ada bukan guna sangat pun ... Khidmat keduanya boleh digantikan dengan penggunaan kamera digital ... 

(19) Apakah perkara yang sering dilakukan setiap kali bercuti bertouring (contoh: update blog, tulis poskad, ambik gambar, dsbnya). 

(a) Ambik gambar - Ini memang jadi satu kewajipan, selain dari menjadi bukti ketibaan di mana-mana destinasi, ia juga berfungsi sebagai merekod maklumat sesuatu lokasi atau situasi. Lagipun, berfotografi tu kan memang menjadi obsesi aku ... 

(b) Mengemaskini status Fesbuk (bukan nama sebenar) - Aku ada nombor telefon Meksis (bukan jenama sebenar) dan berlanggan dengan aplikasi 'Fb2mobile on Fesbuk' (juga bukan nama sebenar), jadi dapatlah diinfokan status Fesbuk secara sms. Biasanya, aku akan memberi info seperti destinasi dan waktu ketibaan, serta info kayuhan [jumlah jarak (km) , purata kelajuan (km/j), masa kayuhan (jam:minit:saat), dan kelajuan maksima (km/h)].

Selain bertujuan mengumpul data untuk dijadikan sumber rujukan menulis blog apabila pulang dari bertouring nanti, ia juga berfungsi sebagai langkah keselamatan. Mengambil kes kapal terbang terhempas sebagai contoh, proses menyelamat dapat dilakukan lebih cepat dengan mengesan dan mengganggar laluan terakhir pesawat tersebut. Begitulah juganya diharap berlaku kepada aku jika terjadinya sebarang kejadian tidak diingini.

Agenda tersembunyi pula, apabila seseorang alert dengan kehadiran aku di mana-mana lokasi. Besarlah harapan sekiranya mereka akan membelanja aku makan-minum, jika tidak pun akan mengajak aku menumpang tidur di kediamannya. Jadi, itu boleh mengeratkan silaturrahim dalam persahabatan (ayat cover line), mengurangkan kos perbelanjaan touring, dan juga yang paling penting sebab aku malas nak pasang-buka khemah ni huhuhu ... Pada individu yang pernah membelanja makan-minum dan menumpangkan kediamannya, aku sungguh berbesar hati dan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih. Moga Tuhan sahajalah yang akan dapat membalas budi baik kalian ...

Oppsss, ada lagi satu, tertinggal pulak !  Kadang-kadang berlaku masalah kerosakan teknikal pada basikal. Ia boleh terjadi di satu tempat asing dimana aku tidak pernah sampai disitu. Nasihat rakan-rakan basikalis di Fesbuk diperlukan untuk mengetahui di manakah lokasi kedai basikal terhampir. Aku tidak pernah meminta pertolongan ini. Tetapi aku percaya, satu hari aku akan menggunakannya juga jika keadaan memaksa.

(c) Berbual dengan warga tempatan - Aku suka mengambil peluang untuk bertemu, berkenalan, mendengar perbualan, bertukar-tukar pendapat mahupun berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan warga tempatan yang ditemui. Biasanya ini dilakukan di warung-warung, kedai makan, mahupun kadang-kadang cuma di hentian bas atau stesyen minyak tempat kami berhenti seketika. 

(d) Menikmati pemandangan flora dan fauna - Kekadang, aku akan melalui kawasan hutan rimba, tasik, sungai. laut, taman serta lain-lain kawasan yang berlanskap menarik. Berhenti menikmati dan bertafakur sejenak membuatkan kita lebih kagum dan dekat dengan penciptaNya.


Pantai Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor

Gelagat lotong dan manusia di Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor

Pokok & bunga teratai @ tepi parit Tanjung Karang, Selangor

(20) Mana satu yang tepat untuk menggambarkan diri anda, seorang yang suka bergambar atau malu-malu kucing ? 

Aku sememangnya suka bergambar, lebih-lebih lagi jika ada jurufoto yang bagus. Cerita pasal bergambar ni, dulu-dulu aku memang tak suka bergambar sebab sukar nak senyum, muka mesti nak serius aje. Tetapi selepas lama kelamaan berlatih, akhirnya dapat juga aku memberikan senyuman yang boleh dikatakan OK lah hehehe ... Cuma, aku lebih suka mengambil gambar orang lain kerana fotografi itu adalah satu hobi yang aku minati ... Satu lagi alasan kenapa tak mahu bergambar sendiri, sebab orang yang nak ambil gambar tu tak mengikuti spesifikasi dan angle yang aku mahukan huhuhu ... 

(21) Letak gambar anda sedang bercuti bertouring dengan posing yang suka hati nak diva ke, bajet bagus ke, tak kisah.


Azizan Zolkipli ... Dimana-mana ...
Galeri Alam Impian, Shah Alam
Refleksi @ Jugra, Banting, Selangor
Bersama aci penjual kacang @ Muzium Negara, Kuala Lumpur
Dalam perjalanan ke Tasik Chini, bangkai ular disyaki King Cobra
Meditasi @ Tasik Bera, Pahang
Aku, di Sepang, Selangor
Menawan Bukit Broga dengan basikal MTB. Kau ada ?

(22) Anda seorang pengumpul souvenir? Jika YA, apakah jenis souvenir tersebut ? 

Ya ! Aku mengumpul freezer magnetic (FM), lebih kurang macam rakan-rakan lain yang suka berkembara juga. Selain itu, aku turut mengumpul keychain.

(23) Adakah anda menghadiahkan souvenir yang dibeli kepada ahli keluarga dan kawan-kawan ? 

Bergantung pada bajet dan situasi. Jika membawa lebihan wang saku, aku akan membeli dan menghadiahkan souvenir untuk keluarga dan kawan-kawan. Untuk keluarga, ia cuma bagi keluarga terdekat (ibubapa & adik-adik) manakala untuk kawan-kawan terhad kepada rakan serumah sewa. Untuk info, semua FM yang dikumpulkan seperti soalan no. (22) diberikan pada mak aku di kampung. Dialah pengumpul yang sebenar, aku ni tukang beli aje hehehe ... Biasanya untuk keluarga dan rakan-rakan, aku akan membelikan mereka sehelai t-shirt buat seorang. 

(24) Selain dari jawapan dalam soalan no. (22), apa lagi benda yang anda suka kumpul berkaitan dengan sesuatu tempat ? 

Hmm, apalagi ekk ... Adalah sikit-sikit macam t-shirt, peta, brochure pelancongan, poskad, lukisan, cetakan gambar (photo print), tiket pengangkutan awam, dan pas masuk sesuatu tempat tu. Tapi aku ni cukup obses dengan peta, kalau orang lain 'giler kentang', aku ni 'gila peta'. Aku tengok peta macam orang baca kamus. Tak heranlah jika aku ni selalu buka Google Maps hahaha ...  

Part IV 

(25) Seorang traveller harus mempunyai pemerhatian (observation) yang baik. Nyatakan hasil pemerhatian yang telah dibuat berdasarkan 3 buah tempat / negara / bandar yang yang pernah dikunjungi (pick random) 

Bukit Fraser:
 
- Jarak dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser ialah 40 km manakala jarak dari Gap ke Bukit Fraser sejauh 8 km, dengan laluan yang lebih curam.

- Dalam perjalanan dari Kuala Kubu ke Bukit Fraser, seseorang akan melalui pekan Kuala Kubu Bharu, Empangan Sungai Selangor, Santuari Ikan Sungai Chiling, airterjun mini Rekreasi Sungai Semangkok, kawasan Sir Henry Gurney mati dibunuh oleh komunis, rumah rehat lama Gap, dan laluan sehala berlampu isyarat Gap - Bukit Fraser sebelum tiba di menara jam Bukit Fraser.

- Terdapat waktu kawalan untuk naik dan turun di laluan sehala Gap - Bukit Fraser. Waktu naik dan turun diberikan selama 40 minit sahaja, dengan waktu untuk naik adalah pada jam ganjil (7am, 9am, 11am, 1pm, 3pm, 5pm & 7pm) manakala waktu turun pada jam genap (8am, 10am, 12pm, 2pm, 4pm, & 6pm)

- Sebagai contoh, waktu untuk naik ialah pada jam 7am, dan pada jam 7.40am kemudian pintu akan dikunci untuk menghalang sebarang kenderaan dari melalui jalan tersebut. Waktu yang keadaan trafiknya tidak dikawal ialah bermula pada jam 8pm hingga ke 6.40am setiap hari.

- Bukit Fraser hanya popular sebagai destinasi percutian tanah tinggi, berbanding dengan Cameron Highlands yang turut dikenali sebagai tempat pertanian tanah tinggi.

- Terdapat beberapa buah bangunan lama peninggalan zaman British, contohnya bangunan pejabat pos, balai polis, pejabat kesihatan kecil dan beberapa buah banglo lama.

- Menyediakan beberapa jungle trail untuk peminat flora dan fauna melaluinya.

- Dikunjungi oleh ramai peminat aktiviti melihat burung (birdwatching)

- Hanya mempunyai beberapa tempat makan dan kedai runcit sahaja, tiada langsung stesyen pam minyak.

- Mempunyai hotel-hotel dan banglo untuk disewa, juga rumah penginapan persendirian bagi kegunaan kakitangan kerajaan dan agensi swasta

Taiping: 

- bandar yang mempunyai banyak peninggalan bangunan lama dan bersejarah.

- sinonim dengan Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping, Penjara Taiping dan Bukit Larut (Maxwell Hill).

- kawasannya kerap dilanda hujan, selalunya selepas waktu tengahari atau sebelah petang. Tidak hairanlah ia digelar kawasan paling lembap di semenanjung Malaysia.

- walaupun terletak di negeri Perak, tapi warganya bertutur dengan slang utara 

Vientiane, Laos: 

- merupakan ibukota dan bandar terbesar di Laos.

- terletak di pinggir Sungai Mekong.

- merupakan bekas tanah jajahan Perancis, masih boleh dilihat nama jalan dan rekabentuk bangunan yang berunsurkan Perancis.

- bandar yang membangun, tetapi dimasa yang sama masih mengekalkan ciri tradisinya.

- pembangunan kebanyakannya menggunakan dana bantuan kewangan dari negara luar ataupun dari agensi dibawah UN (Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu / PBB). 

(26) Lengkapkan ayat ini. "Saya Aku berangan ..." dan ayat tersebut mestilah berkaitan dengan travel. 

"Aku berangan diberikan percuma sebuah basikal touring; set beg pannier lengkap; sebuah khemah 4 musim (4-season tent) yang lasak tapi ringan; set dapur memasak multifuel beserta utensil; sleeping mat & sleeping bag 4 musim; sebuah kamera DSLR bersama lensa dan aksesori, sebuah GPS serta perbelanjaan yang cukup untuk aku mengembara secara solo mahupun berteman ke serata pelusuk dunia yang aku ingini mengikut ketentuan masa sendiri ..." 

Soalan Bonus: 

Letak gambar stamp passport yang paling disukai dan ceritakan kenapa (maksimum 3)


Siem Reap ~ Phnom Penh, Cambodia

Ini trip dimana aku dapat pertama kali berbasikal solo di negara orang, jelajah sorang-sorang dari utara ke selatan bandar Phnom Penh.


Phuket, Thailand

Takde kena mengena pun dengan berbasikal touring, saje nak cukupkan kuota. Pertama kali memiliki passport antarabangsa, stamp passport yang pertama dalam seumur hidup dan pertama kali bercuti ke luar negara. Trip bercuti yang ditaja penuh oleh bekas majikan, 3 hari 2 malam menginap di Club Med Phuket, walaweiii ...


Hong Kong

Juga tiada kena mengena dengan berbasikal touring. Pertama kali dihantar bertugas ke luar negara bersama 3 orang rakan sekerja yang lain, selama 13 hari dan bertugas di atas kapal kargo gergasi. Berpeluang bersiar-siar ke Shanghai, Xiamen, Shenzhen dan Hong Kong semasa kapal berlabuh. Terdapat stamp yang lain untuk trip ini tetapi ianya dicop di mukasurat berlainan.

Dengan ini saya akhiri dengan, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. [tettttttt ...habis siaran...]


04 November 2011

Kayuhan Double A: 24.09.2011

Kayuhan ini dinamakan sebagai Kayuhan 'Double A', sempena mengambil huruf awalan kedua - dua peserta iaitu Adnan & Azizan. Kononnya menurut Adnan lagi, ia juga turut membawa makna 'Adnan Aishiteru' atau 'Aaron Azizan'. Awwww ... tak kuasa you ...

Perjalanan ini diinspirasikan oleh Adnan yang sudah lama mengimpikan untuk pulang ke rumahnya di Lukut dengan berbasikal. Disamping itu, kehadiran kami berdua ke Port Dickson ialah bagi menghadiri jemputan rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah Bt Baba selain saya secara peribadinya bertujuan untuk bertemu dengan rakan - rakan Facebook di Port Dickson iaitu encik Chan Ho Nam (bukan nama sebenar) dan cik Jura Juju selain kak Maznah sendiri. Ketiga - tiga mereka adalah rakan penggiat rekreasi luar (outdoor) dan selama ini kami hanya bertemu secara maya di laman sosial Facebook sahaja.

Nota:
Segala tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih tinggi boleh dilihat dengan cara klik pada gambar. Semua imej yang digunakan di sini adalah dari rakaman kamera Adnan, hakcipta terpelihara. 

Prakata 

Perjalanan dari Seksyen 24 Shah Alam yang kemudiannya memasuki lebuhraya LKSA (Lebuhraya Kemuning - Shah Alam) - lebuhraya KESAS - Bukit Rimau - Jalan Kebun - Jenjarom - Sungai Manggis - Olak Lempit - Kg. Labohan Dagang - Bukit Changgang - Litar F1 Sepang - Sepang - Bukit Pelandok - Tanah Merah sebelum diakhiri di Lukut lokasi terletaknya rumah keluarga Adnan. Jarak kayuhan berjumlah 90.93 km dan tiba dengan masa keseluruhan 6 jam 38 minit.

Log perjalanan dan pengkisahan 


*0 km, jam 0705 pagi, Seksyen 24 Shah Alam:

Pagi itu, tepat jam 0700 Adnan datang ke rumah saya di seksyen 24 Shah Alam. Setelah membuat persiapan terakhir dan memastikan tiada sebarang barangan yang tertinggal. Kami memulakan perjalanan meninggalkan seksyen 24 dengan memasuki lebuhraya LKSA dan kemudian ke laluan sikal di lebuhraya KESAS sebelum memasuki susur keluar untuk ke Bukit Rimau.

Dari Bukit Rimau, kami menggunakan jalan dalam iaitu Lorong Haji Taib, Lorong Haji Mughni, Jalan Kampung Lombong dan seterusnya memasuki Jalan Kebun. Penghujung Jalan Kebun membawa kami ke simpang tiga dimana arah ke kiri menghala ke jalan Bukit Kemandol dan kami mengambil arah ke kanan mengikuti Jalan Masjid.

Dari jalan negeri yang dinamai dalam peta sebagai B129 itu, kami memasuki arah kiri ke jalan kecil tidak bernama yang kemudiannya membawa ke Jalan Sukepi. Penghujung Jalan Sukepi, kami bertemu simpang tiga yang ke kiri akan menghala ke Kampung Jenjarom manakala kanan ke arah ke pekan Jenjarom. Kami menghala ke arah kanan menuju ke sebuah kawasan berhampiran simpang empat lampu isyarat pekan Jenjarom.

*26.35 km, jam 0833 pagi, Jenjarom:

Setelah 1 jam 28 minit dan 26.35 kilometer berkayuh meninggalkan Shah Alam, kami berdua kemudiannya tiba di gerai MDKL (Majlis Daerah Kuala Langat) Taman Ria untuk berhenti sarapan di gerai encik Mat Nor, yang juga merupakan ayah pada rakan saya, Dian Fatihah.

Adnan dan saya mengambil menu yang serupa iaitu nasi lemak, cuma saya dengan tambahan lempeng ubi yang dimakan bersama sambal khas ala menu makanan Jawa. Sambil makan, kami berborak dengan encik Mat Nor, pelbagai topik kami perbincangkan dengan berbasikal tetap menjadi satu perkara yang wajib dibicarakan.


 Meninggalkan Kampung Jenjarom dan menghala ke pekan Jenjarom


Adnan sedang berborak dengan pemilik gerai makan, encik Mat Nor


Menu istimewa di gerai encik Mat Nor, lempeng ubi bersama sambal khas ala Jawa


Bergambar kenangan bersama encik Mat Nor


Bersiap siaga untuk meninggalkan Jenjarom


Setelah selesai bersarapan, membayar harga makanan/minuman dan bersalaman dengan encik Mat Nor serta beberapa pengunjung gerai yang lain, kami mula bergerak meninggalkan lokasi tersebut pada jam 0915 pagi.

Kami memasuki Jalan Persekutuan No. 5 atau Jalan Kelang - Banting secara lebih tepatnya. Meninggalkan Jenjarom, Taman Seri Cheeding dan di satu simpang Y berlampu isyarat, kami memasuki kiri di jalan negeri no. B69 sebelum ke jalan bernombor B18 yang menghubungkan antara Banting dan Dengkil.

Di pangkal jalan B18, kami melalui Kampung Sungai Manggis dan beberapa kampung lagi seterusnya dihadapan. Bahu jalan tersebut sangat sempit, kadang - kadang lori yang berada di laluan kami terpaksa memperlahankan kenderaan mereka apabila dua buah kenderaan berat berada di laluan masing - masing pada arah bertentangan.

Terdapat juga pemandu lori yang berkelakuan tidak sopan dengan membunyikan hon sekuat hati kepada kami, membuatkan kami terperanjat lalu basikal yang ditunggang terbabas memasuki bahu jalan yang berumput ataupun bertanah. Di tepi jalan dari Sungai Manggis ke Olak Lempit, banyak gerai menjual buah - buahan dengan tanaman nenas serta pisang menjadi hasil jualan utama.

Beberapa kilometer meninggalkan Sungai Manggis, kami tiba di mukim Olak Lempit. Di persimpangan berlampu isyarat berhadapan stesyen minyak Petronas Olak Lempit, saya kemudian memilih jalan di susur masuk ke kiri memasuki jalan B20. Jalan ini mempunyai dua lorong sehala dan bahu jalan yang besar, membolehkan kami untuk berkayuh secara bersaing bersebelahan.

Ketika tiba di persimpangan ke Kampung Labohan Dagang, kami mengikuti jalan bawah untuk mengelakkan dari melalui jalan yang sedikit mendaki. Bila dah berkayuh ni, sedikit sebanyak kena berkira juga beb !! Di sebuah cermin untuk melihat aliran trafik, kami sempat bergambar berdua disitu.

Beberapa kilometer dihadapan, kami melalui kawasan Bukit Changgang dan melepasi sebuah kilang kertas (GS Paper Packaging atau nama lamanya Genting Sanyen) di sebelah kanan jalan. Dari situ, kami melalui sebuah simpang tiga berlampu isyarat dan menghala ke kanan memasuki Jalan KLIA 1 sehingga ke sebuah bulatan dan sekali lagi kami mengambil arah ke kiri melalui Jalan Pekeliling.

Memasuki Jalan Pekeliling sebaik sahaja melepasi bulatan, kami menghala terus menuju ke Litar F1 Sepang. Di sini bahu jalannya memang besar, dengan jalan utama mempunyai tiga lorong sehala. Apa yang melemahkan mental kami kami ialah jalan lurus terbuka dengan tiada langsung kawasan teduhan di sepanjang perjalanan.


 Cermin pandang-lihat di simpang masuk ke Kampung Labohan Dagang


 Menuju ke arah Litar F1 Sepang 


55.19 km, jam 1045 pagi, bawah jambatan ERL:

Tidak sampai sepuluh minit berkayuh dari bulatan di Jalan Pekeliling, kami ditemukan dengan sebuah jambatan yang terdapat laluan ERL (Express Rail Link) di atasnya. Peluang ini diambil sebaik mungkin oleh kami berdua bagi berehat, minum membasahkan tekak dan menunggu kehadiran pesawat di belakang kami untuk bergambar. Tepat sepuluh minit berteduh di bawah jambatan tersebut, kami menyambung perjalanan menghala ke Litar F1 Sepang.


Berehat dan berteduh dari panas di bawah jambatan landasan ERL, sambil memerhatikan kapal terbang berlepas dari KLIA/LCCT


Perjalanan diteruskan sehingga ke simpang tiga lampu isyarat berhampiran Litar F1 Sepang dan kami menghala ke arah kiri memasuki Jalan Kuarters KLIA. Di sini, terdapat satu laluan pendakian yang panjang. Mujurlah pendakiannya tidak menyeluruh, di pertengahan jalan ianya kemudian menurun hingga ke simpang empat berlampu isyarat. Dari simpang empat tersebut, kami menuju ke arah kanan memasuki jalan B48 menghala ke Sepang.

Meninggalkan simpang empat tersebut, kami kemudian melalui jalan yang di kiri dan kanannya terdapat ladang kelapa sawit. Lebih kurang empat kilometer berkayuh, terdapat satu simpang di sebelah kiri menghala ke Felda LBJ. Perjalanan diteruskan dan kami mula melalui kawasan laluan pendakian dan jalan yang berliku-liku. Selepas beberapa kilometer jalan pendakian, kami dianugerahkan laluan menurun sehinggalah menghampiri Sepang. 

72.26 km, jam 1245 tengahari, R&R Sepang:

Kami menjejakkan tayar basikal berhadapan papantanda putih bertulis Sepang tepat jam 1240 tengahari. Melihatkan pada keunikan papantanda tersebut yang kedudukannya lebih rendah dari papantanda kawasan yang lain, kami mengambil keputusan untuk bergambar di situ. Selesai bergambar, kami ke R&R Sepang yang terletak di seberang jalan. Bacaan odometer basikal saya mencatatkan bacaan 72.26 kilometer, membawa maksud progres perjalanan kami telah mencapai 80 peratus dari keseluruhan jarak perjalanan. 

Di sini, kami berdua hanya minum sahaja dan yang agak pelik ialah kenapa kami tidak makan tengahari di situ walaupun telah sampai waktu. Adnan yang kelihatan letih kerana panas terik, telah memesan dua gelas teh o ais sekaligus. Mungkin cuaca yang panas telah mematikan selera makan kami berdua, sebaliknya hanya banyak meminum air untuk menyejukkan badan.


 Sebaik tiba di Sepang. Perhatikan ketinggian papantanda ini


Nan pun hendak berposing juga ( :


 Alamak, sekali pesan 2 gelas teh o ais tu !!


Kesempatan yang ada digunakan untuk mencatat butiran perjalanan di buku nota atau menghantar laporan melalui telefon bimbit


Lebih kurang 20 minit berhenti rehat, kami meninggalkan R&R tersebut setelah membayar harga minuman. Sebelum memasuki kembali Jalan Persekutuan No. 5 yang menghubungkan Sepang dan Lukut, kami terlebih dahulu berhenti di stesyen minyak Shell Sepang untuk ke tandas dan membeli tambahan minuman. Shell Sepang ditinggalkan dan kami kini kembali di jalanan. Melepasi sahaja sebuah jambatan di atas Sungai Sepang, kini kami meninggalkan negeri Selangor Darul Ehsan dan memasuki Negeri Sembilan Darul Khusus. Terdapat sebuah binaan kecil dengan berbumbung Minangkabau di sebelah kiri jalan yang mengalu - alukan kedatangan orang luar ke Negeri Sembilan. Kami berhenti seketika di situ untuk bergambar.


Kedua peserta dan basikal masing-masing telah memasuki sempadan Negeri Sembilan Darul Khusus


"Selamat datang ke negeriku", mungkin itulah kata Adnan


Seronok dapat masuk ke Negeri Sembilan !


Tidak sampai 50 meter di hadapan, terdapat satu papantanda berwarna biru yang memberikan kami satu kelegaan, memberitahu bahawa jarak ke Lukut hanya berbaki 18 kilometer. Tetapi pada masa yang sama, turut memaklumkan yang jarak ke Bukit Pelandok tinggal 7 kilometer manakala Tanah Merah pula 12  kilometer. Matahari pula ketika itu tegak di atas kepala. Selepas ini akan melalui jalan pendakian dan permukaan jalan yang beralun turun-naik hinggalah tiba di Lukut.


 Saat-saat gembira sebelum meneruskan perjalanan melalui kawasan berbukit di Bukit Pelandok dan Tanah Merah


Dalam keadaan panas terik dengan matahari berada betul - betul di atas kepala, Adnan berjaya mendahului saya di hadapan. Basikal Bridgestone saya yang mempunyai cuma 7 kelajuan (7 speed) pada cassette nya ditambah dengan saiz cassette yang cuma besar sedikit dari yang digunakan pada roadbike memang benar menguji kemampuan fizikal saya. Apa - apapun, saya cuma mengikut kaki berkayuh dan melayan perasaan sambil menguatkan mental walaupun pada beberapa kawasan saya ditinggalkan oleh Adnan sehingga sejauh selang 6 tiang elektrik (bahasa mat rempit: "kena tinggal 6 tiang").

Tidak jauh dari satu simpang jalan masuk ke ladang kelapa sawit di ladang Tanah Merah milik Sime Darby, Adnan dilihat berhenti di tepi jalan. Beliau kemudian mengeluarkan kameranya untuk bergambar di satu papantanda kesedaran keselamatan. Saya yang berada beratus meter di belakang menyertai beliau tidak lama kemudian, turut meminjam kamera miliknya untuk mengambil gambar basikal saya berlatarbelakangkan papantanda tersebut.


Awas ! Traktor melintas di hadapan ...


"Tiada kemalangan, tiada tangisan" ...


Puas bergambar, berhenti rehat dan menyedut minuman untuk membasahkan tekak, perjalanan disambung dan kami melepasi Taman Jimah Jaya Site C dan stesyen Petronas d' Ambang Kota dengan melalui jalan yang beralun, diselang selikan antara laluan mendaki & menuruni bukit. Sebuah papantanda bertulis Port Dickson 11 kilometer menarik perhatian saya untuk bergambar kenangan. Tidak jauh dari situ, terdapat tinggalan lama sebuah restoran berbentuk binaan sampan besar. Disebelahnya, sebuah replika burung helang seperti Dataran Lang di Kuah, Langkawi tapi pada skala lebih kecil.



 Replika burung helang semacam Dataran Lang di Kuah, Langkawi


Berbaki 11 km ke Port Dickson dan tidak sampai separuh untuk ke Lukut


Nan cuba membayangkan yang beliau sedang berada di Dataran Lang, Kuah, Langkawi


Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan dengan perasaan yang berkobar - kobar, lebih-lebih lagi bagi Nan kerana mengetahui jarak semakin hampir. Tidak sampai 1 kilometer dari simpang tiga lampu isyarat Jalan Sepang - Lukut dan Jalan Seremban - Port Dickson, kami melepasi tanah perkuburan Cina dan kemudiannya mengambil arah ke kanan memasuki sebuah taman perumahan. 

90.93 km, jam 1343 tengahari, rumah keluarga Adnan di Lukut:

Tepat jam 1343 tengahari, kami berdua tiba di kediaman keluarga Adnan setelah berkayuh, berehat, berfotografi dan macam - macam lagi selama 6 jam 38 minit dengan jarak berjumlah 90.93 kilometer. Kehadiran kami disambut dengan rasa terkejut oleh ibu Adnan. Saya kemudiannya difahamkan yang Adnan ada mengatakan hasrat ingin pulang tetapi beliau tidak memaklumkan kepada ibunya yang dia ingin berbuat demikian dengan berbasikal.

Setelah meletakkan kedua - kedua basikal ke dalam kawasan berpagar di rumah keluarga Nan. Kami berehat di bahagian luar rumah yang dipasangkan dengan sebuah kipas siling, rasa bahagia dapat duduk di atas lantai yang beralaskan tikar getah lebih enak dari berjam-jam duduk di atas pelana basikal. Kusyen diambik dan diletakkan di kepala, akhirnya kedua kami pengsan dalam ketiduran ...

Apabila saya bangun dari tidur, kelihatan ayah Adnan telah pulang sebentar ke rumah untuk berehat dari tugasnya. Saya lantas bersalaman dengan beliau. Ayahnya kelihatan bersemangat melihatkan kami datang dengan berbasikal. Rupanya setelah bersembang, beliau turut memiliki hobi yang sama dengan kami iaitu berbasikal. Dari koleksi album gambar dan gantungan gambar yang dihiasi di dinding rumahnya, kelihatan beliau pernah menjadi rakan kayuhan pada Datuk Hassan Nawawi, warga Malaysia yang berpengalaman mengelilingi dunia secara solo pada tahun 2001 ~ 2002. Untuk info, keduanya pernah bertugas di bawah satu bumbung ketika Datuk Hassan bertugas di Majlis Daerah Port Dickson sekitar tahun 1998 hingga 2000.

Tidak beberapa lama kemudian, Nan turut bangun dari tidurnya. Ayahnya pula meminta diri untuk kembali ke tempat kerja. Kami kemudiannya bergilir mandi untuk membersih dan menyegarkan diri lalu menukar pakaian. Diikuti dengan makan lewat tengahari masakan oleh ibunya. Petang itu selepas Asar, Adnan membawa saya ke pantai Batu 4 Port Dickson untuk bertemu rakan baru saya.

Kami tiba dahulu di pantai Batu 4, diikuti oleh Jura diikuti Chan Ho Nam. Inilah kali pertama saya bertemu mereka berdua, jika tidak hanya berinteraksi dalam laman sosial Facebook sahaja. Kesempatan bertemu ini diambil oleh saya untuk berkenalan dan berbicara dengan mereka, topik perbualan kami sudah tentulah lebih terarah pada aktiviti luar (outdoor). Petang itu, sajian minum petang kami dibawa oleh Jura, dengan bermenukan aiskrim dan minuman coklat panas. Terima kasih Jura  !

Kami lepak di tepi pantai itu sehingga menjelang waktu Maghrib. Panorama matahari terbenam petang itu sungguh mengasyikkan. Nan mengambil peluang menggunakan kameranya bagi merakamkan detik-detik tersebut. Kami berempat kemudiannya berpisah untuk pulang ke rumah, dengan masing-masing berjanji untuk bertemu semula di jemputan rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah pada malamnya.


 
Panorama matahari terbenam di pantai Bt. 4 Port Dickson


Malam itu, selepas Isyak kami keluar dari rumah Nan untuk ke Taman Lagenda, Kampung Paya Lama. Lokasi di mana akan berlangsungnya majlis rumah terbuka Aidilfitri kak Maznah dan suaminya encik Kamal. Sebelum bertolak, saya dengan bantuan Adnan membuka tayar dan tempat duduk untuk memuatkan basikal saya ke dalam kereta Adnan. Ini adalah kerana, selepas majlis terbuka Aidilfitri itu saya merancang untuk bermalam di rumah sepupu ibu saya, puan Norzalila Mohamed Salim atau lebih mesra saya panggil Makngah di Taman Intan Perdana, Telok Kemang.

Telah beberapa kali beliau sekeluarga mengajak saya bertandang ke rumahnya ketika melalui kawasan Port Dickson untuk bertouring. Dan kali ini, saya rasakan tidak dapat mencari alasan untuk menolak ajakannya lagi hehehe ... Setelah bersalaman dengan keluarga Adnan, mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kami berdua meninggalkan perkarangan rumah Nan menuju ke Kampung Paya Dalam.

Kami berlima tiba hampir serentak dengan tiga kereta berasingan; saya bersama Adnan, Chan membawa isterinya Norazura manakala Jura berseorangan. Orang ramai telah pun berpusu-pusu ketika kami tiba. Kami disambut mesra oleh kak Maznah, oleh kerana sibuk melayan tetamu, beliau meminta izin untuk meninggalkan kami dan menyuruh kami untuk mengambil hidangan sendiri.  Apalagi, tanpa membuang masa Nan dan saya terus bergegas ke menu yang paling menarik untuk malam itu, kambing golek ! Walaupun terpaksa menunggu giliran panjang, itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kami.

Semasa menunggu, majlis bacaan doa selamat sedang berlangsung. Kami menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca. Selesai bacaan doa, kami menghampiri arah kambing golek sambil menghulurkan pinggan polisterin putih dengan harapan agar pinggan masing-masing akan diisikan segera dengan hirisan kambing golek oleh para petugas.


 Nan menunjukkan isyarat bagus selepas pinggannya diisikan dengan hirisan daging kambing golek


Kambing golek pertama, hampir tinggal tulang


Kambing golek yang kedua


Selesai mengambil kambing golek, kami beratur di kawasan penyediaan sate pula. Seorang petugas yang mengipas dan menjaga pembakaran sate itu, semacam pernah saya lihat dahulu. Setelah diingatkan oleh Nan, baru saya dapat mengingati yang nama panggilannya ialah Wet atau nama sebenar beliau Azuwer Abd Tawab. Kami pernah berkayuh bersama ketika Ride for Gaza di Putrajaya diikuti dengan kayuhan di Paya Indah Wetlands pada 16hb Jan 2011 lalu.


 Wet sedang membakar sate bersama seorang petugas lain


Selesai mengambil hidangan sate, kami mengambil tempat untuk menikmati hidangan. Pada mulanya kami duduk dibahagian tengah meja di bawah khemah. Kemudiannya, saya mengajak mereka bertukar ke meja berhampiran kawasan laman rumah kak Maznah. Selain menu utama kambing golek dan sate, menu lain yang terdapat malam itu ialah nasi dengan lauk dan ulam ala kampung, lemang dan rendang  serta pelbagai lagi.

Semasa masing-masing sedang leka menikmati hidangan, hadirin dikejutkan oleh bunyi kuat dari pembakaran mercun dan bunga api. Terperanjat Boboi, ahaksss ... Untuk mencuci mulut, saya mengambil aiskrim yang turut disediakan sebagai juadah pada malam itu. Hmmm, sedap ... Memandangkan Adnan akan kembali ke Shah Alam pada malam itu kerana perlu menghadiri kelas pada pagi Ahad dan saya pula akan ke rumah Makngah di Telok Kemang, kami kemudian menemui kak Maznah bagi memohon diri untuk pulang.

Sempat juga kak Maznah mengenalkan kami pada beberapa orang rakan penggiat aktiviti luar dari Malaysia Backpackers. Ada antaranya terdapat dalam senarai rakan Facebook saya, seronok rasanya dapat bertemu muka dengan mereka. Pertemuan kami malam itu, diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama. Suaminya, encik Kamal tidak dapat kami temui kerana sedang sibuk melayani tetamu.


 Kak Maznah mengenalkan Nan & saya pada  beberapa rakan penggiat rekreasi luar


Bergambar dengan rakan Facebook di PD; dari kiri, Chan Ho Nam bersama isteri, Norazura, Adnan, kak Maznah & Jura


Setelah bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal antara kami berlima, kereta dipandu Nan kemudiannya membawa kami berdua menuju Taman Intan Perdana yang terletak dalam kawasan Telok Kemang, tidak jauh dari Politeknik Port Dickson. Kami sampai di rumah Makngah saya lebih kurang jam 2300 malam. Setelah mengeluarkan basikal dari kereta, Nan sempat bertemu Makngah saya dan kemudiannya memohon untuk pulang ke rumahnya.

Esoknya, saya akan berkayuh seorang diri dari Telok Kemang ke Shah Alam kerana Adnan akan pulang ke Shah Alam menghadiri kelasnya pada pagi Ahad. Jika tidak, pasti beliau akan menemani saya untuk ke Shah Alam bersama. Moga perjalanan keesokan hari saya akan berjalan lancar, dilindungi oleh Allah SWT dan terhindar dari sebarang kejadian tidak diingini. Amin ... 

Info kayuhan (dari bacaan meter): 

Jumlah jarak = 90.93 km, masa kayuhan = 4:45:30 (jam/minit/saat, tidak termasuk waktu rehat, berhenti minum & sesi fotografi), kelajuan maksima 37.9 km/j dan purata kelajuan 19.1 km/j.

Peta perjalanan kami boleh dilawati melalui pautan http://g.co/maps/6euk2 


"The greater the effort, the greater the glory" - Pierre Corneille