ADS

29 March 2012

Kayuhan NJ: Pra kayuhan

Edisi pengenalan mengenai kayuhan ini boleh dibaca di sini.

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Pembesaran imej dapat dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar. Koleksi gambar adalah dari saya sendiri, Ah Chong dan Muzammil. Semua hakcipta terpelihara dan sebarang penggunaan mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pemilik.

Untuk kembara berbasikal kali ini, saya menggunakan pendekatan untuk tidak membuat rakaman perjalanan secara kebiasaan yang dilakukan iaitu menggunakan buku catatan dan juga pen, sebaliknya hanya mengharapkan khidmat pesanan ringkas (sms) yang berintegrasi dengan penggunaan akaun Facebook bersama aplikasi 'fb2mobile' oleh sebuah syarikat telko tempatan.

Disamping ingatan yang kadang-kadang tidak berapa baik ini, memori saya turut dibantu oleh gambar-gambar dari koleksi Ah Chong dan Muzammil. Kombinasi inilah saya gunakan bagi menghasilkan pengkisahan untuk perjalanan Kayuhan NJ di dalam blog ini. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya rasmikan pengkisahan ini …


16hb Nov 2011, Rabu.

Seksyen 24, Shah Alam
Hari itu adalah hari Rabu, sehari sebelum kembara berbasikal Kayuhan NJ kami bermula. Pagi itu saya habiskan dengan membeli dan melengkapkan keperluan yang diperlukan untuk kembara kali ini. Selain itu, membuat persiapan terakhir pada 'jentera kayuhan' (basikal) dan 'menguji kayuh' (bukan uji pandu tau !) untuk mengesan sebarang kerosakan sebelum ianya digunakan dalam kayuhan nanti.

Petang dan malamnya pula, saya bergelut melawan masa untuk menghabiskan artikel blog bagi menyertai sebuah pertandingan menulis "26 fakta tentang seorang kaki jalan bernama ...". Ia adalah anjuran cik Fatt, penulis blog Backpacker Busuk, sebuah blog kembara yang mula mendapat perhatian peminat aktiviti berkembara tempatan termasuk saya sendiri.

Tujuan utama saya memasuki pertandingan tersebut, dengan harapan agar peminat kembara tanahair mula menyedari kewujudan aktiviti berkembara basikal yang semakin berkembang kebelakangan ini, juga untuk menzahirkan kesedaran tentang peri pentingnya kita menjelajah negara kita, dimana terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang mungkin tersembunyi atau terlepas pandang.

Alhamdulillah, artikel tersebut yang saya berikan judul "26 fakta tentang seorang basikalis 'touring' bernama Azizan Zolkipli" telah pun meraih dua hadiah, iaitu kategori menjawab soalan nombor tertentu yang mana penyumbang hadiah menjadi juri memilih pemenang dan satu lagi iaitu kategori 'Reader Choice'. Artikel mengenai kemenangan itu, boleh dibaca di sini.

Selesai sahaja memuatnaik pertandingan tersebut dengan cara mengemaskinikan entry terbaru blog Ceritera Touring, satu post diadakan di status Facebook saya dengan memberikan peta laluan perjalanan disamping menyatakan hasrat untuk berkembara berbasikal. Ianya menerima reaksi yang hangat dari kenalan di laman sosial itu, lantas ada yang mendoakan keselamatan serta kejayaan disamping memberikan pelbagai saranan tempat untuk saya singgahi semasa perjalanan nanti.


Status di wall Facebook sebaik sahaja menghantar pertandingan menulis.

Lagi ucap selamat serta saranan dari kenalan Facebook


Selepas mematikan komputer riba (laptop lah tu !), bantuan diminta kepada rakan serumah untuk menghantar saya berserta basikal ke Kampung Baru Subang. Ia bertujuan untuk mengambil seorang lagi rakan kembara, iaitu abang Joe. Sebelum bertolak dari Shah Alam, saya menghubungi beliau untuk bertanyakan lokasi rumahnya. Beliau memberikan panduan, dan berkata akan menunggu di tepi jalan berhampiran sebuah kedai tayar.

Shah Alam ke Kampung Melayu Subang
Dari Shah Alam, selepas melalui Lebuhraya Persekutuan kami memasuki jalan Lapangan Terbang SSAAS, kemudian memasuki jalan lama yang betul-betul terletak bersebelahan pagar lapangan terbang. Di penghujung jalan tersebut, bertemulah kami dengan kedai tayar dan kelibat abang Joe. Selepas menaikkan basikal ke kenderaan, kami bertiga meninggalkan kawasan Subang menghala ke Bandar  Tun Razak, rumah Ah Chong.

Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur
Kami tiba sekitar jam 0100 pagi di rumah Ah Chong. Satu panggilan terpaksa dibuat memandangkan hari telah lewat malam dan Ah Chong telah pun melelapkan matanya. Sejurus pintu dibuka, Ah Chong keluar menyambut kehadiran kami bertiga. Sebaik sahaja menurunkan basikal dari kenderaan, saya cuba untuk memasang rack pada basikal abang Joe. Tidak kelihatan eyelet pada bahagian belakang rangka basikalnya ! Mujurlah saya ada membawa rack mudah alih yang dipasang pada tiang tempat duduk (seatpost) basikalnya.

Rack mudah alih ini senang dipasang dan dibuka pada mana-mana basikal, cuma keburukannya ialah ia hanya berkapasiti untuk membawa beban sehingga  sembilan kilometer sahaja. Rakan serumah kemudiannya meminta diri untuk pulang, saya kemudian menasihatkannya agar berhati-hati memandu dan berhenti di tempat yang selamat jika merasa mengantuk.

Tidak saya ingati, jam berapa kami bertiga tidur pada malam itu. Mungkin sekitar jam 0300 pagi jika tidak silap. Sebelum kami tidur, beberapa persiapan terakhir telah dilakukan. Ah Chong meminjamkan alas tidur (sleeping mat) dan beg tidur (sleeping bag) kepada abang Joe untuk dibawa. Abang Joe pula sempat membeli sebuah lampu suluh berkuasa tinggi dengan bateri 'boleh - cas semula' (rechargeable) dari Ah Chong yang boleh diletakkan pada handlebar basikal.

Ah Chong kemudian meminta diri untuk meninggalkan kami berdua kerana dia hendak masuk ke bilik menyambung tidur yang terganggu tadinya. Bagi kami berdua, juga perlukan rehat sebelum berkayuh pada paginya nanti. Sebaik lampu ditutup, beberapa minit kemudian tiada lagi perbualan antara saya dan abang Joe dan kemudian pandangan saya pun terus gelap gelita, zZzZzZ ...


B   E   R   S   A   M   B   U   N   G ...


 
"Since there is nothing so well worth having as friends, never lose a chance to make them." - Francesco Guicciardini

22 March 2012

Kayuhan NJ: Pengenalan

Kayuhan NJ - Kembara Berbasikal dari Kuala Lumpur melalui Selangor, Perak dan Pahang

Kayuhan NJ ini telah diinspirasikan oleh encik Nazrol Jamaludin (selepas ini akan dipanggil sebagai Nazrol), rakan kayuhan saya dari grup KayuhBeb Cycling Club [klik untuk Facebook mereka di sini dan blog di sini].

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan atau rujukan lanjut. Pembesaran imej boleh dilakukan dengan cara klik pada setiap gambar yang terdapat di sini.

Nazrol mengidamkan untuk berkayuh di laluan pendakian Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang. Maka dengan itu, saya telah merangka satu laluan bermula dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan idea sendiri, saranan Nazrol dan juga pandangan dari rakan-rakan Pedal Krem Riders (selepas ini akan disebut PK Riders).

Menggunakan aplikasi Google Maps bagi merancang laluan, perjalanan asal kayuhan adalah selama empat hari, dengan satu hari dijadikan hari tambahan jika berlaku sebarang kecemasan atau perkara luar jangka. Hari pertama, kayuhan dicadangkan bermula dari Kuala Lumpur ke Tapah, Perak; diikuti Tapah ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang untuk hari kedua; Kampung Raja ke Sabak Bernam, Selangor (hari ketiga) dan diakhiri dengan Sabak Bernam ke Shah Alam, Selangor.


Gambar 1. Perancangan kayuhan yang mengambil masa 4 hari untuk ditamatkan


Kayuhan pada hari pertama dianggarkan sejauh 152 kilometer, diikuti 105 kilometer pada hari kedua, 154 kilometer (hari ketiga) dan hari terakhir sejauh 122 kilometer. Jumlah jarak kayuhan adalah dari 533 kilometer. Kayuhan hari kedua adalah sangat mencabar, kerana membabitkan laluan berbukit lebih 50 kilometer dari Simpang Pulai, Perak ke Kampung Raja, Cameron Highlands.


Gambar 2. Jarak yang akan kami lalui mengikut hari kayuhan, disamping jarak beberapa lokasi untuk info


Jemputan berkembara basikal ini telah dihantar melalui email dan mesej peribadi di Facebook kepada beberapa rakan terdekat, namun ada juga rakan kayuhan yang mengetahui perancangan ini melalui info mulut ke mulut. Beberapa orang rakan memberitahu berminat untuk mengikuti, dan mereka pun mulalah membuat permohonan cuti kepada majikan masing-masing. Ada yang mendapat kelepasan, ada juga yang gagal mendapat kebenaran.

Seminggu lebih sebelum hari kayuhan bermula, pencetus idea kayuhan iaitu encik Nazrol tiba-tiba mendapat arahan dari majikannya bagi menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang pada hari kedua kayuhan. Setelah tidak dapat mengelak dengan diwakili oleh individu lain ke mesyuarat itu, beliau terpaksa menarik diri dari kayuhan ini. Biarpun kayuhan ini tidak lagi disertai oleh Nazrol, nama kayuhan ini masih dikekalkan untuk memberi penghormatan terhadap semangat dan inspirasi beliau.

Sebelum saya ceritakan secara terperinci kisah perjalanan kembara berbasikal bermula episod seterusnya, ingin saya kongsikan fakta kayuhan untuk memberikan idea dan gambaran awal pada pembaca. Fakta - fakta kayuhan tersebut saya petik dari entry laman blog Pedal Krem Riders. 

FAKTA KAYUHAN:

4 basikal digunakan

- seunit Jamis Allegro 2X, seunit Giant XTC Race dan 2 unit Bridgestone
.

4 individu penyertaan
- Ah Chong, Muzammil, abang Joe Amad dan Wakjan.

2 peringkat umur penyertaan

- tiga individu berusia 30'an dan seorang 50'an.


5 peringkat perjalanan

- Kuala Lumpur ke Bidor, Perak.

- Bidor ke Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.

- Kampung Raja ke Tapah, Perak.

- Tapah ke Sabak Bernam, Selangor.

- Sabak Bernam ke Shah Alam, Selangor.


5 hari 4 malam perjalanan

- bermalam di Bidor, Kampung Raja, Tapah dan Sabak Bernam
.

4 negeri dilalui

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pahang.

5 kali sempadan negeri dilangkaui
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, di Jalan Ipoh berhampiran Selayang Baru,
- Selangor dan Perak, di atas jambatan melintasi Sungai Bernam berhampiran Tanjung Malim, 
- Perak dan Pahang, di sebuah tempat berpapantanda sempadan, berbaki 12 kilometer menghampiri Kampung Raja 
- Pahang dan Perak, di Ringlet, Cameron Highlands, Pahang dan 
- Perak dan Selangor, di atas jambatan melintasi Sungai Bernam di tengah perjalanan antara Simpang Empat Hutan Melintang dan Sabak Bernam.
 
11 daerah dilalui

- Selangor: Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Petaling,
 
- Perak: Batang Padang, Kampar, Kinta dan Hilir Perak
- Pahang: Cameron Highlands. 

13 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan / PBT dimasuki

- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Selangor: Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Klang & Majlis Bandaraya Shah Alam.
- Perak: Majlis Daerah Tanjung Malim, Majlis Daerah Tapah, Majlis Daerah Kampar, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan.
- Pahang: Majlis Daerah Cameron Highlands.

- 500+ km perjalanan

jumlah jarak kayuhan meliputi 558.70 kilometer (dari meter basikal saya)

- 35+ jam perjalanan

mengambil masa 35 jam 39 minit 46 saat, terkecuali waktu berhenti rehat, makan-minum, berteduh dari hujan lebat, kebocoran tiub, masalah teknikal basikal dan sebagainya.
 
 
 
"He who is not courageous enough to take risks will accomplish nothing in life." - Muhammad Ali
 

20 March 2012

Eksplorasi Duo Kuala Langat: Bahagian 2 (Akhir)

Kesinambungan dari bahagian lalu

Nota:
Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut. Gambar dengan resolusi lebih besar boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar. Keseluruhan gambar adalah koleksi album Adnan yang dirakam menggunakan kamera Panasonic DMC-FZ3 miliknya, segala hakcipta terpelihara.

Bukit Jugra 

- Setelah menolong beberapa pelajar mengambil gambar mereka sekumpulan, tibalah masa kami berdua untuk bergambar dengan abjad besar bertulis JUGRA di puncak bukit tersebut.

- Kemudian, Adnan mengambil peluang untuk tidur di bangku panjang simen di kawasan berbumbung, sementara saya berbual bersama beberapa penggiat sukan paragliding bagi mendapatkan info mengenai hobi tersebut.

- Tidak lama selepas itu, Adnan bangun dari tidur setelah puas melelapkan mata. Beliau kemudian menyertai saya dan yang lain-lain untuk melihat persiapan beberapa peserta sebelum melakukan penerjunan.

-  Kami melihat persiapan terakhir seorang budak lelaki belasan tahun yang melakukan penerbangan solonya buat kali yang keempat. Setelah mendapat kekuatan dan arah angin yang sesuai, beliau terjun dari puncak bukit Jugra dengan diawasi oleh ayahnya melalui penggunaan radio amatur untuk berkomunikasi sesama mereka.

 
Gambar 1. Bergambar kenangan berlatarbelakangkan abjad besar JUGRA

Gambar 2. Adnan sempat melelapkan mata, kemudian menyertai kelompok penggiat aktiviti paragliding

Gambar 3. Persiapan seorang remaja dibantu oleh ayahnya sebelum melakukan penerjunan

Gambar 4. Menunggu kekuatan dan arah angin yang sesuai sebelum melakukan penerjunan

Gambar 5. "Zam zam, ala kazammm ..."

Gambar 6. Adnan bertanyakan persiapan peralatan sebelum melakukan penerjunan


Bukit Jugra ke Pantai Kelanang

- Setelah bersalaman bersama semua penggiat aktiviti paragliding dan memohon diri untuk pulang, kami turun dari bukit Jugra.

- Di persimpangan Sungai Raba, kami berdua sempat berhenti di sebuah gerai yang menjual minuman jus jambu. Puas membasahkan tekak, perjalanan disambung menuju  Pantai Kelanang.


Gambar 7. Singgah di gerai menjual minuman jus jambu untuk membasahkan tekak


Pantai Kelanang

- Setibanya di Pantai Kelanang, kami berehat sebentar di satu kawasan sebelum menuju ke medan selera untuk makan tengahari.

- Ketika sedang menikmati menu makan tengahari, tiba-tiba hujan lebat turun membuatkan semua pelanggan yang berada di kawasan terbuka lari bertempiaran ke bawah kawasan berbumbung.

- Hujan masih lebat ketika kami membayar harga makanan dan minuman. Oleh kerana tidak mahu menunggu lebih lama, kami redah sahaja hujan tersebut untuk menuju ke arah Pantai Morib.


Gambar 8. Menikmati makan tengahari di medan selera Pantai Kelanang


Pantai Kelanang ke Pantai Morib

- Dalam perjalanan menuju Pantai Morib, hujan telah pun reda dan ada kawasan yang langsung tidak dibasahi hujan.

- Kami melalui jalan berturap selorong di atas benteng yang memisahkan kawasan daratan dan lautan. Perjalanan dihiburkan dengan kehijauan kawasan berpaya di sebelah kiri jalan dan kawasan paya bakau di kanannya.

- Di suatu kawasan berpantai putih, terdapat pepohon bakau mati yang menjadikan lanskap di situ sangat cantik. Kami berdua berhenti untuk sesi fotografi.


Gambar 9. Pohon bakau tumbang yang menarik perhatian kami. Nota: Akar pokok bakau ini telah patah ketika kali terakhir saya ke sini pada Feb 2012 lalu [uhuk uhuk sob sob]

Gambar 10. Adnan menjadi 'model tidak berbayar' saya untuk kayuhan kali ini ( :

Gambar 11. Masih di lokasi sama, tapi pada sudut yang berlainan


Pantai Morib

- Setelah berfotografi di kawasan berpantai yang terdapat pohon-pohon bakau mati itu, perjalanan disambung dan lebih kurang tiga puluh minit berkayuh kami tiba di Pantai Morib.

- Sebelum memasuki lebih dalam, kami berdua bergambar di batu penanda lama dan pintu gerbang, sebagai saksi telah sampai ke situ.

- Kami kemudian ke arah taman rekreasi yang baru dibina di Pantai Morib, untuk melihat keadaan persekitaran dan menikmati pemandangan. Seperti biasa, sesi fotografi sebagai saksi kami telah sampai ke situ.

- Di penghujung kawasan rekreasi, terdapat satu batu penanda bersejarah berwarna kuning di dalam sebuah bulatan. Ia bertulis 46 INDIAN BEACH GROUP. Bacakan tentang sejarahnya di sini dan sini.



Gambar 12. Kedua basikal kami di batu penanda Pantai Morib

Gambar 13. Bergambar di pintu gerbang Pantai Morib

Gambar 14. Kawasan rekreasi baru yang terdapat mercutanda bertulisan PANTAI MORIB

Gambar 15. Batu penanda pendaratan askar British ke Malaya pada 9hb September 1945

Gambar 16. Gambar dekat batu peringatan bersejarah


Pantai Morib - Banting - Shah Alam

- Keterbatasan masa kerana Adnan bertugas pada shift malam hari itu membuatkan kami tidak dapat menghabiskan masa lebih lama di Pantai Morib.

- Kami pulang semula ke Banting, dan kemudian memasuki kawasan Kampung Jenjarom sebelum keluar di Jalan Kebun, Bukit Rimau diikuti Lebuhraya KESAS dan LKSA diakhiri dengan tiba di Seksyen 24.

 
Gambar 17. Tiba di pekan Banting dari Pantai Morib, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam


Shah Alam 

- Tiba di Sekyen 24 lebih kurang jam 1830 petang, bermakna Adnan mempunyai lebih sejam untuk berehat dan bersiap sebelum memulakan tugasnya pada jam 2000 malam. Selepas bersalaman, kami bersurai menuju ke kediaman masing-masing dengan Adnan meneruskan perjalanannya menuju seksyen 18.

Info kayuhan kami untuk hari itu, tercatat pada speedometer jenama Topeak model Comp 130 pada basikal saya seperti yang berikut:

- Jumlah jarak kayuhan = 128.61 kilometer.

- Jumlah masa kayuhan = 6 jam 21 minit 32 saat, terkecuali waktu berhenti.

- Kelajuan maksima = 46.8 kilometer sejam

- Kelajuan purata = 20.2 kilometer sejam

- Jumlah keseluruhan jarak kayuhan peribadi = 7862.7 kilometer (bersamaan 4885 batu / miles)

- Jumlah keseluruhan masa kayuhan peribadi = 458 jam 29 minit (bersamaan 19 hari 1 jam 17 minit)


"Great thoughts speak only to the thoughtful mind, but great actions speak to all mankind." - Theodore Roosevelt

12 March 2012

Eksplorasi Duo Kuala Langat: Bahagian 1

Untuk pengkisahan kayuhan ini (dan mungkin seterusnya, ooppsss), saya akan menggunakan pendekatan berlainan dari sebelum ini iaitu secara butiran ringkas. Ia sekadar mempelbagaikan gaya penulisan dan juga memendekkan penceritaan.

Pendahuluan
- Kayuhan secara ad-hoc, dirancang beberapa hari sahaja sebelum ianya dilaksanakan. Beberapa rakan grup Pedal Krem Riders dan rakan kayuhan lain telah dijemput menyertai.
- Hanya Adnan yang menyahut seruan, beliau berkelapangan kerana bekerja shift malam pada hari tersebut.

Pertemuan & permulaan perjalanan
- Sabtu, 29hb Oktober 2011.
- Bertemu di persimpangan masuk ke sebuah pasaraya besar (hyper market) berhampiran Uptown Shah Alam.
- Memasuki Lebuhraya LKSA, laluan sikal di Lebuhraya KESAS, Bukit Rimau, Jalan Kebun dan Jalan Sukepi.

Nota:
Gambar dengan resolusi lebih besar boleh dilihat dengan cara klik pada setiap gambar


Gambar 1: Adnan tiba di lokasi pertemuan yang kami janjikan

Gambar 2: Bridgestone yang dilengkapi plet khas, bersedia untuk berkembara pada pagi itu


Jenjarom ke Banting
- Beberapa kilometer sebelum memasuki Kampung Jenjarom, perjalanan terhalang oleh kerja-kerja pembaikan jalan dan terpaksa menukar haluan memasuki jalan dalam lalu keluar di kawasan Sungai Rambai.
- Berhenti bersarapan di gerai Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), sudah semestinya di gerai pakcik Mat Nor yang dikenali dengan pelbagai menu lempengnya.



Gambar 3. Tiba di pekan Jenjarom, setelah melalui jalan dalam menembusi Sg. Rambai


Banting ke Jugra
- Menerokai penghujung jalan di kawasan Jugra, berhampiran Sungai Langat. Berhenti untuk berehat dan menikmati pemandangan.
- Singgah di perkarangan luar muzium (Muzium Insitu), kemudian merasai pengalaman menaiki sendiri sebuah kenderaan perisai yang ditempatkan di situ


Gambar 4. Melepasi pekan Banting, menghala ke Jugra

Gambar 5: Adnan mendemonstrasikan teknik me'raba' ( :

Gambar 6. Nama tempat yang agak unik

Gambar 7. 'Spiderman cilik' memerhatikan sahaja aksi Adnan ketika bergambar

Gambar 8. Di sebuah pelantar berhampiran Sungai Langat, berlatarbelakangan Pulau Carey

Gambar 9. Kereta perisai lama yang diletakkan di hadapan Muzium Insitu

Gambar 10. Pelbagai gelagat Adnan ketika mencuba masuk ke dalam kereta perisai

Gambar 11. Tiga ekor anjing anak beranak yang kelihatan jinak


Di Bukit Jugra
- Tiba di puncak yang mempunyai sebuah rumah api dan menara radar setelah berkayuh lebih tiga kilometer melalui jalan yang curam.
- Beberapa orang penggiat sukan paragliding dan pelancong dari luar negara  telah berada di sana.
- Sempat bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman tentang sukan paragliding dari mereka yang berpengalaman.
- Melihat persiapan dan pelepasan seorang remaja yang ingin terbang secara solo
- Menjadi jurufoto bagi sekumpulan pelancong luar negara, dan kemudian mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan tulisan besar JUGRA.


Gambar 12. Di persimpangan sebelum laluan pendakian ke Bukit Jugra

Gambar 13. Berhenti sejenak menikmati pemandangan dalam perjalanan ke puncak Bukit Jugra

Gambar 14. Sekumpulan pelajar yang berkunjung ke Bukit Jugra meminta aksi mereka dirakamkan

Gambar 15. Kurang berpuas hati apabila gambar kami pula dirakamkan ) :

Gambar 16. Adnan bergambar kenangan, gambar dalam format 16:9


B  E  R  S  A  M  B  U  N  G ...
 

"The world of reality has its limits; the world of imagination is boundless." - Jean-Jacques Rousseau